KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah menyelamatkan enam orang lelaki warganegara Nepal disyaki menjadi mangsa eksploitasi sebagai buruh paksa oleh majikan sebuah syarikat pengawal keselamatan.
Ketua Pengarah Imigresen Malaysia Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, sekumpulan lelaki berusia dalam lingkungan 30 hingga 40 tahun diselamatkan dalam satu operasi menyelamat oleh Bahagian Pencegahan ATIPSOM dan AMLA Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya pada 27 Oktober lalu di Petaling Jaya.
“Bertindak atas maklumat dan hasil risikan, pemeriksaan dilakukan di sebuah premis kediaman yang dijadikan asrama penginapan pekerja.
“Hasil pemeriksaan telah menemui enam orang lelaki warganegara Nepal yang disyaki sebagai mangsa sedang berada dalam premis tersebut.
“Premis kediaman itu dilihat dalam keadaan daif, sempit dan tidak selesa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Khairul Dzaimee, hasil temubual dengan mangsa, mereka didapati kini tidak bekerja dan tidak diberi gaji selama tempoh lebih kurang enam bulan.
Mangsa mendakwa, mereka telah diabaikan oleh majikan dengan tidak diberikan sebarang bantuan bagi meneruskan kelangsungan hidup sepanjang mereka tidak diberikan gaji.
Mangsa juga mendakwa pihak majikan enggan menemui mangsa meskipun beberapa kali cuba dihubungi mangsa, katanya.
Selain itu, menurut Khairul Dzaimee, pihaknya turut memeriksa pejabat majikan dan beberapa dokumen telah dirampas serta wakil syarikat dibawa ke Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya bagi tujuan siasatan lanjut.
“Kesemua mangsa telah menjalani saringan Covid-19 dan telah didapati negatif oleh pihak KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia),” katanya lagi.
Menurutnya, kesemua mangsa telah diselamatkan dibawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 dan diberi perlindungan serta ditempatkan di Rumah Perlindungan.
Majikan dan pemilik syarikat tersebut telah dipanggil untuk memberikan keterangan dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 kerana kesalahan memperdagangkan orang bagi maksud eksploitasi.
“Jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara tidak lebih 15 tahun dan juga didenda tidak lebih RM150,000,” katanya.
Jabatan Imigresen Malaysia tidak teragak – agak mengambil tindakan tegas terhadap mana – mana individu yang menyalahi undang – undang khususnya bagi kesalahan memperdagangkan orang. – MalaysiaGazette
Bukan perdagangan manusia sebab Covid-19 maka tiada kerja jaga, jadi boleh cari kerja sawit di Pagoh okay.