Mangsa maut di lokasi kejadian selepas dirempuh dari belakang oleh sebuah motosikal yang ditunggang remaja lelaki di Batu 9, Jalan Kuching-Serian.

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki berusia 21 tahun maut selepas motosikal yang ditunggangnya dirempuh dari belakang dalam kejadian di Batu 9, Jalan Kuching-Serian, Samarahan, awal pagi tadi.

Insiden itu berlaku sekitar jam 1.41 pagi ketika mangsa sedang dalam perjalanan pulang dari Kuching menuju ke rumahnya di Kampung Sri Arjuna, sebelum dirempuh oleh sebuah motosikal lain yang ditunggang seorang remaja lelaki.

Ketua Polis Daerah Kota Samarahan, Superintendan Damataries Lautin berkata, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai telah brek secara tiba-tiba selepas kenderaan di hadapannya ingin masuk ke simpang.

“Remaja lelaki berusia 18 tahun yang menunggang motosikal di belakang mangsa gagal mengelak lalu melanggar mangsa dari arah belakang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Akibat rempuhan tersebut, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Umum Sarawak (HUS).

Sementara itu, remaja terbabit mengalami kecederaan ringan dan sedang menerima rawatan di wad kecemasan hospital yang sama.

Menurut Damataries, kedua-dua penunggang motosikal tidak memiliki lesen memandu.

Siasatan mendapati mangsa menunggang motosikal miliknya sendiri manakala remaja tersebut menunggang motosikal milik kakaknya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast