Suasana lengang di sebuah pusat beli-belah berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi membendung penularan Covid-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Seri Kembangan, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 20 OKTOBER 2020

KUALA LUMPUR – Kerajaan sepatutnya melanjutkan moratorium bayaran balik pembiayaan yang telah berakhir secara automatik pada 30 September yang lalu.

Ini kerana, kebanyakan permohonan masih tergantung dan tidak menerima kelulusan di atas pelbagai sebab dan pelaksanaan PKPB (Perintah Kawalan Pergerakkan Bersyarat) dan PKP Pemulihan (PKPP) memberikan kesan ke atas peminjam yang tidak memohon moratorium bersasar.

Naib Pengerusi, Persatuan Kesejahteraan Rakyat Malaysia (PKRM), Isma Zaimei Ishak berkata, moratorium itu sepatutnya dijadikan secara automatik berdasarkan jumlah kes pendamik Covid-19 yang tidak menentu hingga mengakibatkan pelbagai peringkat perniagaan terjejas dan tidak dapat membuat bayaran pembiayaan.

”Sebagai contoh, pemilik restoran makanan yang bergantung kepada keuntungan harian terpaksa menjadi mangsa apabila pinjamannya tidak dapat dibayar akibat impak pelaksanaan PKPB semula.

”Orang ramai diminta berada di rumah, tidak digalakkan mengunjungi pusat membeli belah bagi menggelakkan penularan, sedangkan cadangan ini menyebabkan peniaga-peniaga terpaksa berdepan dengan kerugiaan yang teruk.

”Pada masa sama, banyak pekerja terpaksa diberhentikan atau dibuang kerja,” katanya di sini.

PKRM berharap institusi perbankan tampil membantu ketika peminjam berdepan dengan pandemik Covid-19 kerana sekiranya golongan ini tidak dibantu, mereka terpaksa berdepan dengan jumlah hutang yang tinggi.

Jelas Isma, peluang untuk mengekalkan kemampanan pendapatan bulanan menjadi tanda soal selepas perniagaan terjejas.

Lantaran itu, katanya, kerajaan perlu bertindak segera sebelum ramai lagi PKS yang terpaksa gulung tikar, sekali gus memberi kesan kepada kadar pengganguran yang tinggi.

Kesan-kesan ini juga akan memberikan implikasi dan beban kepada kerajaan.

Sebagai kerajaan, katanya, kesukaran yang dihadapi oleh rakyat sekarang harus dinilai dan semua pihak harus berganding bahu dalam membantu antara satu sama lain.

Sebagai contoh , hasil tinjauan persatuan ini mendapati penyewa dan pemilik bangunan juga harus berbincang dan mencari jalan yang betul supaya kedua-dua pihak terus komited dalam kaedah pembayaran sewa secara berperingkat tanpa memaksa untuk mengosongkan bangunan.

”Kini kami mendapati pelbagai perniagaan di gedung-gedung beli belah mengalami kerugian teruk dan jualan harian turun sebanyak 70%.

Sementara itu, Pengerusi PKRM, Datuk Ranjith berkata, masih ramai lagi rakyat belum mencapai tahap pendapatan yang kukuh untuk membayar pembayaran pinjaman apabila mereka terpaksa menerima hakikat pengurangan tempoh berkerja, tiada pembayaran kerja lebihan masa dan lain-lain pemotongan pembayaran oleh majikan masing-masing.

Kesan ke atas ekonomi amat tertekan apabila Mak Cik yang jual nasi lemak di tepi jalan pun mengalami kerugian oleh kerana pelaksanaan PKPP dan bekerja dari rumah.

Satu- satunya cara untuk menyelamatkan golongan rakyat yang terjejas ini adalah dengan menawarkan moratorium secara automatik dan dilanjutkan tempoh sekurang-kurangnya sehingga bulan Mac 2021 bagi memastikan keadaan kembali stabil.

Ranjith percaya kerajaan mampu tampil ke hadapan dengan mengarahkan industri perbankan melakukan yang terbaik kepada peminjan dalam situasi sukar ini.

Apa yang penting sekarang adalah sikap kebersamaan untuk sama-sama membantu golongan yang terjejas dan menghulurkan bantuan sepenuhnya sehingga rakyat mampu mengatasi penularan ini. – MalaysiaGazette