KUALA LUMPUR – Bukan mudah mendapatkan kelulusan untuk menubuhkan sesebuah parti politik, kata Setiausaha Agung Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Borhan Zakaria.
Beliau berkata, sejarah penubuhan Putra mengambil masa sembilan bulan, sedangkan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) baru memohon kira-kira dua bulan lalu.
Katanya, Putra mengemukakan permohonan pada 13 Ogos 2018.
“Bagaimanapun, selepas enam bulan tidak menerima jawapan dari Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS), jawatankuasa penaja Putra memfailkan semakan kehakiman.
“Ketika kes pengurusan, mahkamah menetapkan tarikh perbicaraan pada 9 Mei 2019, tetapi sehari sebelum itu, pada 8 Mei 2019, Parti Putra menerima Sijil Kelulusan RoS.
“Maka perbicaraan tidak diteruskan,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.
Beliau mengulas desakan Setiausaha Agung Pejuang, Datuk Amiruddin Hamzah kepada RoS supaya membuat keputusan segera serta jelas mengenai permohonan pendaftaran parti itu yang dibuat sejak dua bulan lalu.
Kata Amiruddin, dalam tempoh tersebut, Pejuang telah mengemukakan sebanyak tujuh permohonan, tetapi sehingga kini pihaknya belum mendapat sebarang jawapan bertulis daripada Menteri Dalam Negeri mahupun RoS.
Menurut Borhan, Putra menunggu hampir sembilan bulan baharu mendapat kelulusan RoS di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH), sedangkan parti Pejuang baru mengemukakan permohonan sekitar dua bulan sahaja.
“Kenalah bersabar sikit. Tidak ada mana-mana pihak wajar menerima layanan istimewa. Ikutlah proses prosedur standard operasi (SOP) RoS.
“Kita yakin Parti Pejuang akan mendapat kelulusan RoS, tapi kenalah bersabar,” katanya.
Beliau berkata, Putra sentiasa bersikap istiqamah dan tenang walaupun penubuhannya dituduh memecah belahkan Melayu.
“Pimpinan Putra sentiasa konsisten dengan apa jua pandangan dan sikap serta tidak kata dulang paku serpih.
“Semoga pertambahan parti politik Melayu akan meraikan lagi perjuangan politik orang Melayu,” katanya. – MalaysiaGazette
Putra ada pon mcm x der x function pon