Pengawal Keselamatan Sekolah Kebangsaan Bangsar, Maniam Sundaraj melekatkan notis ‘Perintah Tutup Premis’ dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) susulan peningkatan kes Covid-19 semasa tinjauan lensa Malaysia Gazette di Jalan Pantai Baru, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 19 OKTOBER 2020
MALAYSIA kini sedang menghadapi gelombang ketiga wabak Covid-19 yang sememangnya mencabar. Kadar kes baru harian telah mencecah tiga angka sejak lebih sebulan yang lalu.
Sabah, Selangor dan Kuala Lumpur telah diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat manakala beberapa daerah pula kini dalam Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat.
Namun begitu, kadar kes harian masih belum melihatkan penurunan jelas.
Menurut Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia, Tan Sri Noor Hisham Abdullah, kadar keberjangkitan telah berjaya diturunkan kepada 1.1 berbanding 2.2 pada awal tempoh gelombang ketiga.
Bagaimanapun, kebimbangan rakyat Malaysia masih jelas belum dapat dibendung.
Lebih-lebih lagi ibu bapa yang mempunyai anak-anak yang bersekolah dan juga guru-guru.
Keresahan mereka lebih berpunca kepada Menteri Pendidikan yang berdiam diri. Tiada sebarang kenyataan konklusif untuk memperjelaskan pendirian kementerian tersebut berkenaan impak gelombang ketiga Covid -19 terhadap persekolahan.
Setakat ini, hanya sekolah-sekolah yang mempunyai kes Covid-19 dibenarkan tutup setelah mendapat saranan dan nasihat Majlis Keselamatan Negara serta Kementerian Kesihatan Malaysia. Amalan birokrasi ini tidak relevan dalam suasana kecemasan kesihatan seperti yang dihadapi sekarang.
Johor Bahru, misalnya, telah diwartakan sebagai zon merah hari ini. Setakat ini, lebih 8 sekolah telah melaporkan kes positif Covid-19 dikalangan pelajarnya. Kesemua sekolah ini telah diarahkan tutup. Namun kebimbangan dikalangan ibu bapa dan guru-guru melangkaui mereka yang berkaitan dengan sekolah-sekolah tersebut.
Pendekatan tunggu dan lihat adalah kebiasaannya lambat dalam mencapai keputusan. Harus diingat,  pengurusan murid di sekolah ini tidak sama dengan orang dewasa, maka tindakan pantas harus dilaksanakan.
Maka Biro Pendidikan UMNO Johor Bahru menyarankan agar kuasa autonomi diberikan kepada pentadbiran sekolah terutamanya dalam membuat keputusan menutup sekolah tanpa perlu bergantung kepada kebenaran atau arahan dari Kementerian Pendidikan, MKN atau KKM. Cukup sekadar pemakluman penutupan kepada Jabatan Pendidikan Negeri. Ini termasuk sekolah yang tidak melaporkan kes Covid-19 tetapi berisiko.
Pentadbiran sekolah mampu bertindak lebih pantas kerana mereka lebih memahami keresahan dan kebimbangan guru-guru dan ibubapa serta risiko Covid-19 di sekolah mereka.
Langkah proaktif perlu dilaksanakan secepat mungkin dalam mengekang penularan wabak ini di kalangan murid-murid sekolah.
Nyawa murid dan guru-guru bukan sesuatu yang boleh dipertaruhkan. Sebaliknya ia perlu diberikan tumpuan yang terpenting.
Faiz Banafe
Pengerusi
Biro Pendidikan UMNO Johor Bahru 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast