KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor (ADUN) Jeram, Mohd Shaid Rosli melahirkan rasa kecewa dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (Ros) yang masih meneliti dan membuat semakan berhubung status pendaftaran Parti Pejuang Tanahair (PEJUANG).
Mohd Shaid turut terkejut setelah hampir tiga bulan permohonan pendaftaran PEJUANG masih belum diselesaikan sepenuhnya berdasarkan semakan dalam sistem eROSES.
“Saya tidak bersetuju dengan alasan RoS kononnya Jawatankuasa Penaja PEJUANG tidak melakukan semakan pada setiap permohonan yang dikemukakan terutama dokumentasi yang penting seperti perlembagaan parti.
“Setiap hari saya mengikuti perkembangan permohonan parti PEJUANG ini. Ini kerana sebagai ADUN BEBAS saya menunggu kelulusan Parti PEJUANG ini bagi membolehkan saya menyertainya,” kata wakil rakyat bebas itu dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam Ros dalam satu kenyataan berkata, pihak Jawatankuasa Penaja Parti perlu melakukan semakan terperinci pada setiap permohonan dikemukakan termasuk dokumentasi terutama perlembagaan yang menjadi rujukan utama sesebuah pertubuhan berdaftar.
Kenyataan itu berkata, PEJUANG juga tidak boleh menggunakan logo, lambang dan simbol sehingga pertubuhan itu didaftarkan secara sah.
Katanya, pihaknya masih meneliti dan membuat semakan terhadap permohonan pendaftaran PEJUANG itu.
Pihak Jawatankuasa Penaja parti berkenaan diingatkan untuk berhubung terus dengan ROS bagi menyelesaikan urusan permohonan pendaftaran itu.
Mohd Shaid juga mengingatkan RoS agar tidak menjadi alat kerajaan dan bermotifkan politik dalam membuat pertimbangan bagi meluluskan mana-mana permohonan baharu.
“Saya merasakan wujud unsur pilih kasih ekoran pendaftaran Perikatan Nasional (PN) yang diluluskan oleh jabatan itu dengan kadar segera dalam proses yang amat meragukan.
“Saya juga meminta agar Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin lebih profesional dalam menjalankan tugas.
“Beliau perlu menyelesaikan masalah di bawah kementerian beliau bagi menjaga integriti kementerian itu sendiri,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
tak daftar pun tak apa. parti perkauman begitu yang dah ada pun patut dibatalkan. .. bila masanya rakyat malaysia nak bersatu kalau parti kaum dan ugama dibenarkan menghasut rakyat.