DUNIA Islam hari ini sekali lagi dikejutkan dengan tindakan Islamofobia dengan agen kebencian yang disebarkan ini menjadi seperti jarum provokasi yang mencucuk-cucuk seterusnya membuatkan orang lain turut sama terasa ‘sakit hati’ atas nama Islam radikal.
Susulan tindakan figura besar iaitu Presiden Perancis, Emmanuel Macron yang dilihat mempertahankan tindakan seorang guru yang telah menjadi mangsa bunuh disebabkan oleh tindakannya yang nyata keterlaluan.
Tindakan itu berunsurkan penghinaan terhadap Islam melalui akhbar mingguan satira Perancis iaitu Charlie Hebdo, justeru mengundang reaksi pelbagai pihak seluruh dunia khususnya di
negara Islam serta penganut Muslim.
Macron kemudiannya menyatakan bahawa penghinaan yang dilakukan guru tersebut layak dilihat sebagai aksi seorang ‘hero’ kerana mempertahankan hak kebebasan, disamping keharusan untuk memerangi golongan Islam radikal habis-habisan.
Kenyataan serta tindakan Macron merupakan tindakan yang secara jelasnya menentang prinsip kemanusiaan, sepertimana yang disebut oleh Presiden Republik Turki, Recep Tayyip Erdogan bahawa tindakan Macron itu kelihatan ‘tidak berakal’ kerana
membandingkan layanan mengikut perbezaan kumpulan keagamaan.
Persoalan yang wajar kita fikirkan bersama, justeru apa yang mampu kita lakukan untuk menunjukkan solidariti kita buat masyarakat Muslim di Perancis bahkan diseluruh dunia sebagai tindak balas sentimen Islamofobia yang telah dicetuskan ini.
Untuk keluar ke lapangan melaungkan tanda protes, barangkali
terbatas buat keadaan yang sedang diancam oleh virus juzuk-juzuk kecil koronavirus ini.
Oleh itu kita ambil alternatif lain sebagai jalan keluarnya yakni boikot produk-produk keluaran Perancis.
Barangkali ada yang tertanya-tanya sejauh manakah boikot akan berkesan dan adakah ia sesuatu yang praktikal untuk dilakukan.
Kita akui bahawa syarikat-syarikat terbesar memegang begitu banyak kuasa dan memiliki banyak industri yang berbeza sehingga terasa mustahil untuk tidak terlibat dengan mereka,
justeru sejauh manakah boikot mampu berhasil?
Secara dasarnya, sebagai seorang pengguna, setiap daripada kita mempunyai pilihan untuk memboikot, iaitu untuk tidak membeli atau menggunakan barangan yang datang dari sumber tersebut.
Boikot seringkali dilihat sebagai kaedah yang efektif untuk mempengaruhi suatu perubahan.
Bagi memastikan keberhasilan agenda memboikot ini, maka apa yang diperlukan adalah kesedaran manusiawi (1),
kumpulan pengguna (2), dan usaha yang kolektif (3) dengan mensasarkan pengurangan ketara pada keuntungan syarikat-syarikat berkenaan.
Bagi tujuan memboikot, pengguna perlu bijak mengimbangi antara barangan keperluan dan kehendak.
Dari sudut pasaran ekonomi, tidak dinafikan bahawa tidak semua jenis barangan yang boleh diboikot kerana ada yang melibatkan barangan berbentuk keperluan harian.
Namun dalam konteks boikot sebagai tanda protes ini, maka penting untuk kita ketahui pengganti bagi barangan yang biasa
dibeli/digunakan.
Penulis mendapati bahawa kebanyakan produk-produk pengeluar Perancis yang biasa digunakan adalah produk yang bukan berasaskan keperluan tetapi lebih kepada produk berasaskan
kehendak misalnya barangan berjenama seperti Dior, Chanel, Loreal dan sebagainya.
Turut mengambil kira populasi Muslim di seluruh dunia, The World Religion Dataset melaporkan bahawa peratusan penganut Muslim di seluruh dunia meliputi sekitar 21.01 peratus, dan merupakan kelompok agama kedua terbesar di dunia selepas agama Kristian.
Justeru, andai semua orang Muslim tekad menyokong dan berganding bahu menjayakan agenda boikot ini, maka kita yakin dan percaya bahawa usaha kolektif ini mampu membuahkan hasilnya.
Dari sudut kepenggunaan, boikot adalah selaras dengan hak asasi kepenggunaan sejagat sebagai satu bentuk desakan kepada pengeluar.
Jika boikot dilakukan secara besar-besaran dan strategik, ia
berkeupayaan untuk melumpuhkan suatu ekonomi.
Boikot merupakan satu bentuk perlawanan pasif untuk menentang perlawanan aktif (Islamofobia).
For a boycott to be effective, that cause has to matter to a lot of people. Kesedaran dan tindak mula individu itu lebih penting daripada menghimpun berjuta-juta orang untuk bercakap dengan penuh semangat serta berkobar-kobar, namun setelah itu semua orang hanya pulang tanpa sebarang tindakan mula.
Kita semua harus menyedari peranan masing-masing, kerana saudara sesama Muslim itu adalah apabila dicubit paha kanan, maka paha kiri pun ikut terasa juga.- MalaysiaGazette
SOFIYA TAMIZI
Exco Intelektual & Keilmuan,
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM).
Semua semata mata nak untung. Charlie Hebdo tiap tahun akan guna modal sama hina Nabi junjungan kita semata mata nak naik kan sales. Jom kita pakat boikot produk Perancis.