Mohd Redzuan Md. Yusof

KUALA LUMPUR – Sebanyak RM451.36 juta telah diperuntukan untuk usahawan pelbagai sektor melalui pembiayaan Tekun Nasional sepanjang tempoh pandemik Covid-19 antara Mac hingga Oktober.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof, daripada jumlah itu sekiranya-kurangnya 43,206 usahawan telah memperoleh manfaat inisiatif tersebut.

“Kementerian sememangnya sedia maklum sepanjang tempoh penularan Covid-19 telah menjejaskan perniagaan usahawan mikro dan informal khususnya peniaga kecil dan penjaja.

“Pihak Kementerian telah mengeluarkan pelbagai bantuan kepada penjaja dan peniaga kecil melalui agensi pelaksana di bawah Medac seperti Tekun Malaysia, SME Corp, SME Bank dan Bank Rakyat.

“TEKUN Nasional juga telah menerima RM300 juta daripada kerajaan melalui Pakej Prihatin PKS dan Penjana bagi disalurkan kepada usahawan terjejas.

“Bagi tempoh pandemik ini antara Mac hingga kini, sejumlah 43,206 usahawan telah mendapat manfaat pembiayaan ini,” katanya ketika sesi soalan lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Jerai (Pas), Sabri Azit yang bertanya apakah yang dilakukan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi bagi membantu penjaja kecil sepanjang Covid-19.

Kata Mohd Redzuan, satu lagi agensi di bawah Medac iaitu SME Corp turut menyediakan bantuan pembiayaan dan pembangunan untuk usahawan bumiputra.

“Antaranya Program Tunas Usahawan Belia Bumiputra (TUBE) di bawah inisiatif Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana).

“Bantuan yang diberikan adalah berbentuk latihan dengan geran memulakan perniagan sehingga maksimum RM15,000 dan pemantauan perniagaan untuk tempoh 12 bulan.

“Untuk tahun ini sehingga September, seramai 765 peserta telah sertai program ini,” ujarnya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast