KUALA LUMPUR – Pembentangan Belanjawan 2021 pada 6 November ini pastinya akan mencuri tumpuan semua pihak.
Hendak lagi ketika negara sedang berhadapan dengan pandemik Covid-19 serta ketidakstabilan politik semakin tidak keruan.
Bagaimanapun, rata-rata permintaan rakyat secara khusus yang mencadangkan supaya kerajaan memberi lebih banyak insentif kepada mereka.
Ini termasuk bantuan tunai kepada rakyat yang berpendapatan kecil perlu diteruskan kerana ia bukan sahaja dapat membantu untuk kelangsungan hidup mereka tetapi memastikan ekonomi terus berjalan.
Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia merangkap Ketua Pemuda Bahagian Lembah Pantai, Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin berharap Belanjawan 2021 lebih kepada ‘menyelamatkan’ rakyat serta ekonomi negara.
“Tidak dapat kita nafi keadaan pandemik ini sesuatu yang luar biasa dan tidak ada garis panduan bagaimana untuk menanganinya, bukan sahaja dalam negara sebaliknya seluruh dunia sekalipun.
“Tetapi saya mohon kepada kerajaan supaya memperhalusi apakah yang sedang berlaku kepada rakyat jelata yang semakin hari semakin tersepit dengan keadaan krisis kewangan cukup teruk, tidak ada sesiapa menyangka semua ini akan berlaku.
“Rakyat terdesak untuk mendapatkan bantuan kerajaan, jadi tolonglah mereka. Keadaan sungguh tidak ketika ini, ramai yang sudah hilang kerja berbulan mula membuat keputusan untuk meminjam sahaja dari ah long.
“Saya sendiri berdepan dengan situasi penduduk sekitar Lembah Pantai akan mengadu segala macam isu terutamanya ekonomi serta kewangan yang semakin sempit buat mereka. Peniaga merungut mohon rayuan,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Muhamad Muqharabbin mencadangkan antara yang boleh diberikan oleh kerajaan ialah bantuan sara hidup bulanan antara RM250 hingga RM300 selama enam bulan akan datang ini.
Katanya, untuk golongan peniaga kecil cadangan one off bantuan RM3000 untuk mereka mulakan perniagaan semula.
“Mungkin kerajaan boleh ambil input saya, ini adalah harapan rakyat khasnya peniaga kecil yang saya temui sekitar Lembah Pantai.
“Pengusaha gedung-gedung dan pasar raya boleh cuba menurunkan sewa bulanan kepada peniaga selain pihak berwajib berikan lesen sementara kepada golongan ini berniaga di jalanan untuk tempoh enam bulan.
“Kumpulan mahasiswa dibantu dengan pengecualian yuran dan pencarum KWSP dapat mengeluarkan wang daripada akaun 1 sebanyak RM 10,000 seperti yang dicadangkan oleh mantan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak.
“Hakikatnya semua ini akan memberikan kelegaan dan erti cukup besar, ramai juga mula jalankan perniagaan kecil-kecilan dari rumah serta berhampiran rumah dan jalanan demi meneruskan kehidupan mereka, lagi perit kalau keluarga besar,” ujarnya.
Jelas Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin, selain daripada meminjam dari ceti haram, ada juga yang sudah menjual kenderaan, memajak barangan kemas atau jual rumah.
“Ramai sahaja yang ikat perut untuk meneruskan kelangsungan hidup sepanjang Covid-19.
“Saya berharap kerajaan prihatin kepada penderitaan rakyat serta jauhkan birokrasi ketika semua sedang tersepit. Kita juga tidak mahu sampai rakyat turun ke jalanan seperti yang berlaku di negara jiran dengan mencetuskan huru hara kerana marah dengan kerajaan mereka.
“Bantulah rakyat, rakyat sedang memerlukan dokongan kerajaan,” tegasnya. -MalaysiaGazette