Mohd Shaid Rosli

KUALA LUMPUR – Pengurusan tertinggi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) perlu mendedahkan jumlah dan caruman terkini dalam akaun 1 tabung simpanan itu ketika ini.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Jeram, Mohd Shaid Rosli mendakwa, ini kerana rakyat mula meragui ketelusan KWSP dalam menguruskan dana persaraan kira-kira 4.7 juta pencarumnya khususnya ketika pandemik Covid-19.

“Adakah duit pencarum ini masih wujud lagi? Persoalan ini perlu dijelaskan kerana dimaklumkan kerajaan Barisan Nasional dahulu menggunakan duit KWSP untuk bayar faedah 1MDB.

“Kini Kerajaan Perikatan Nasional (PN) pula meminjam duit KWSP untuk membayar pada rakyat sewaktu Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

ADN Bebas itu juga mempersoalkan sejak bila tabung persaraan pekerja itu menjadi bank hingga boleh memberi pinjaman berbilion ringgit kepada pihak tertentu tanpa sebarang jaminan.

“Pada 2010 semasa pemerintahan kerajaan BN, laporan merekodkan KWSP pernah meluluskan pinjaman kepada 13 peminjam bernilai RM55.1 bilion kononnya layak tanpa sokongan jaminan kerajaan.

“Bagaimanapun, Laporan Ketua Audit Negara 2010 mendapati hanya satu daripada 13 peminjam layak mendapatkan pinjaman tanpa jaminan tersebut. Peminjam berkenaan diberi pinjaman RM21.3 bilion!

“Laporan ini telah membuatkan rakyat tertanya-tanya. Sejak bila KWSP diiktiraf atau diwartakan sebagai bank? Sejak bila KWSP boleh memberi pinjaman kepada syarikat korporat? Berapakah peratus faedah yang dikenakan?

“Kenapa KWSP boleh meluluskan pinjaman kepada peminjam yang tidak layak dan bagaimanakah prestasi syarikat tersebut membayar balik pinjaman tersebut?” soalnya.

Mohd Shaid juga mempersoalkan jika syarikat korporat boleh diberikan kemudahan pinjaman, kenapa tidak ia juga diberikan kepada pencarum-pencarum yang terjejas teruk akibat Covid-19.

“Kenapa tidak diberikan kemudahan pinjaman tersebut kepada pencarum-pencarum KWSP itu sendiri?” katanya.

Rentetan peristiwa ini, katanya, rakyat yang mencarum sudah mula hilang kepercayaan dengan integriti dan maklumat yang dikemukakan pihak pengurusan KWSP serta kerajaan.

“Justeru, dengan menunjukkan baki wang caruman KWSP secara telus akan meyakinkan rakyat dengan penyimpanan tersebut.

“Sekiranya wang itu wujud, kenapa sukar untuk membenarkan penyimpan mengeluarkan bagi meneruskan kehidupan mereka di kala tengah susah.

“Tetapi dengan begitu mudah meluluskan dana berbilion ringgit untuk digunakan 12 peminjam yang tidak layak tanpa jaminan kerajaan. Apa guna simpan duit jika tidak boleh membantu ketika kecemasan?” katanya.

Katanya lagi, beliau sendiri menyokong sekiranya wang dari akaun 1 KWSP boleh dikeluarkan bagi memanfaatkan kira-kira 4.7 juta pencarumnya ketika mendepani Covid-19.

“Dalam keadaan negara berhadapan dengan persekitaran ekonomi yang tidak memberangsangkan akibat Covid-19, saya menyokong penuh sekiranya akaun 1 boleh dikeluarkan oleh pencarum untuk diguna pakai sewaktu musim wabak ini.

“Ramai rakyat terjejas akibat penularan pandemik ini sehingga menyebabkan ada yang digantung kerja dan ada yang diberhentikan kerana majikan tidak mampu menggajikan pekerja mereka,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

2 Komen

  1. SOKONG…apa guna simpan duit jika TIDAK DAPAT digunakan semasa kesusahan dan kecemasan…syarat berhemah

Comments are closed.