KUALA LUMPUR – Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa dipanggil untuk dirakam keterangan oleh Units Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bahagian Pendakwaan dan Undang-undang (D5) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman pada jam 5.30 petang.
Timbalan Pengarah Siasatan dan Undang-undang, Deputi Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) itu disiasat berhubung satu laporan polis yang dilakukan pada awal Mac lalu ke atas beliau dan juga seorang lagi pemimpin Parti Amanah Negara, Khalid Abdul Samad atas dakwaan mempertikaikan kuasa Yang DiPertuan Agong (YDPA) melantik Tan Sri Muhyidin Yassin sebagai Perdana Menteri ke-8.
“Ya benar Mujahid diminta hadir ke Bukit Aman petang ini untuk diambil keterangan (USJT).
“Dia disiasat di bawah Akta Hasutan dan Seksyen 233 AKM 1998 (Akta Komunikasi dan Multimedia),” katanyaa ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.
Ditanya mengeni siasatan sama dilakukan ke atas Khalid, Mior Faridalathrash berkata, polis telah selesai mengambil keterangan daripada bekas Menteri Wilayah itu pada bulan lalu di bawah akta sama.
Pada 6 Mac lalu, satu laporan polis dilakukan bagi menggesa Polis Di-Raja Malaysia (PDRM) menyiasat ucapan Ahli Parlimen Parit Buntar dan Shah Alam yang didakwa mempertikaikan pelantikan Perdana Menteri yang diperkenankan YDPA.
Ucapan tersebut disifatkan sebagai menghina baginda dan Majlis Raja-Raja.
Khalid Samad dalam klip video yang tular di media sosial mendakwa Pakatan Harapan (PH) mempunyai majoriti tetapi gagal dipilih kerana YDPA tidak yakin dengan gabungan itu yang hanya mempunyai 40 orang ahli parlimen Melayu. -MalaysiaGazette