Telefon pintar menjadi medium yang digunakan oleh adik, Nur Ameena Husna Shahrul Mizan,9 semasa mengikuti sesi pembelajaran atas talian di rumah berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ketika tinjauan Lensa Malaysia Gazette di Ampang, Selangor. foto AFIQ HAMBALI, 22 OKTOBER 2020

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Mulitimedia Malaysia (SKMM) digesa menubuhkan satu jawatankuasa khas untuk menangani isu berkaitan talian prabayar yang meragukan.

Dalam masa yang sama Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) juga mendesak kerajaan menjelaskan bagaimana lebih sejuta talian prabayar berdaftar yang mencurigakan wujud dalam tempoh dua tahun.

“PPIM menggesa agar pihak berkaitan memberi penjelasan sepenuhnya mengapa setelah hampir sejuta talian yang meragukan didaftarkan, tiada tindakan susulan atau perancangan untuk mengawal keadaan ini dilaksanakan?

“Pihak berkuasa khususnya SKMM seharusnya boleh membuat jangkaan akan kemungkinan-kemungkinan yang boleh berlaku dalam era teknologi maklumat sekarang,” kata PPIM menerusi kenyataan media hari ini.

Tambah PPIM, SKMM seharusnya mempunyai jaringan kerjasama khususnya dengan pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dalam menangani isu-isu utama yang boleh menjejaskan kualiti hidup pengguna.

Terdahulu PPIM terkejut dengan pendedahan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah di Dewan Rakyat bahawa sebanyak 1,377,862 talian prabayar yang didaftar secara meragukan dalam tempoh Januari 2018 hingga Oktober 2020.

Daripada jumlah itu, dilaporkan sebanyak 920,207 talian itu sudah ditamatkan perkhidmatan manakala 457,645 lagi dikemas kini dengan maklumat yang sah.

Kata PPIM , ini bermakna dalam tempoh lebih dua tahun rakyat Malaysia telah terdedah dengan hampir sejuta talian yang meragukan dan boleh menjadi penyebab ke atas gejala scamming yang heboh baru-baru ini

Justeru kata persatuan berkenaan, pihak berkuasa perlu menahan pelaku jenayah yang terlibat dan mengheret mereka ke muka pengadilan, termasuk syarikat-syarikat telekomunikasi yang menyediakan kemudahan talian itu. – MalaysiaGazette

Hampir sejuta talian prabayar meragukan ditamatkan

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast