Datuk Saifuddin Abdullah Undi 18 GE15 General Election voters vote
Saifuddin Abdullah

KUALA LUMPUR – Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) telah melaksanakan pelbagai inisiatif dalam usaha memastikan rakyat selamat daripada penipuan siber.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, inisitif tersebut dilakukan menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) apabila berjaya mengesan sebanyak 1.37 juta talian prabayar yang didaftar secara meragukan sehingga Oktober tahun ini.

Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak 920,217 talian telah ditamatkan perkhidmatannya dan 457,645 lagi telah dikemas kini dengan maklumat yang sah.

“KKMM melalui Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) turut melaksanakan strategi komunikasi yang terancang dan berkesan melalui platform media sosial rasmi bagi memastikan rakyat mendapat maklumat tepat dan sahih berkenaan penipuan siber yang menggunakan pelbagai modus operandi dalam memperdayakan mangsa dalam mendapatkan data peribadi dan wang.

“KKMM juga melaksanakan inisiatif untuk menyampaikan kesedaran kepada rakyat melalui rancangan bual bicara, laporan berita, Pesanan Khidmat Masyarakat (PSA), infografik media sosial dan media dalam talian serta hebahan program-program radio,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen (BN- Kimanis), Datuk Mohamad Alamin pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Mohamad Alamin bertanyakan mengenai inisiatif kementerian dalam memastikan rakyat selamat daripada penipuan siber yang menggunakan aplikasi tidak sahih dan juga melalui panggilan telefon dengan pelbagai modus operandi bagi memperdayakan mangsa dalam mendapatkan data peribadi dan wang.

Mengulas lanjut Saifuddin berkata, dalam tempoh Januari hingga Oktober tahun ini, Radio Televisyen Malaysia (RTM) menerusi empat saluran televisyen, 34 stesen radio dan 192 akaun media sosialnya telah menyiarkan sejumlah 6,788 hebahan di semua platform mengenai bahaya penipuan siber dan penyalahgunaan data peribadi.

“Dalam memastikan mesej berkenaan sampai kepada rakyat, hebahan berkenaan terutamanya menerusi PSA dan infografik masih disiarkan pada setiap masa sehingga kini. RTM juga berusaha memastikan mesej disampaikan dengan cara mesra penonton dan menghiburkan.

“KKMM melalui CyberSecurity Malaysia (CSM) turut membantu rakyat menangani penipuan siber melalui program kesedaran keselamatan siber.

“Ini memerlukan pelaksanaan aktiviti kesedaran keselamatan siber yang berterusan dalam usaha untuk memupuk amalan keselamatan siber dalam kehidupan harian dan juga meningkatkan pengetahuan ancaman siber yang sentiasa berubah mengikut kemajuan teknologi digital,” katanya.

Terdahulu, Saifuddin memberitahu dewan bahawa kegiatan penipuan ataupun ‘scam’ sama ada secara dalam talian (online) ataupun luar talian (offline) adalah tertakluk di bawah bidang kuasa Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPNHEP), Suruhanjaya Sekuriti (SC), Bank Negara Malaysia (BNM) atau agensi-agensi berkenaan tertakluk kepada bentuk-bentuk penipuan yang dijalankan.

“Bagi perkara berkaitan siasatan, Jawatankuasa Jenayah Siber PDRM-MCMC yang telah ditubuhkan akan terus digerakkan dan diperkasakan bagi menerajui gerak kerja dan tindakan yang lebih strategik dan tersusun antara PDRM dan SKMM dalam membenteras jenayah siber termasuklah yang berkaitan penipuan atau scam.

“Kerjasama dan kolaborasi antara kedua-dua pihak khususnya dalam perkongsian maklumat dan kepakaran adalah bertepatan bagi melancarkan aktiviti penguatkuasaan supaya dapat menangani isu penyalahgunaan media sosial dengan lebih efektif,” tambahnya.

Beliau menjelaskan, daripada aspek pengawalseliaan industri, SKMM turut menjalankan audit pengesahan data dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk mengesahkan integriti pangkalan data pelanggan talian telefon prabayar utuk memastikan bahawa semua nombor yang aktif disahkan dengan sewajarnya.

Langkah itu katanya, adalah bagi mengelakkan data itu ia disalahguna oleh pihak yang tidak bertanggungjawab untuk tujuan penipuan dan seumpamanya. – MalaysiaGazette