Mohd Khairul Azam Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – Naib Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Mohd Khairul Azam Abdul Aziz berhasrat untuk bertanding di kerusi Parlimen Shah Alam pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU 15) ini.

Katanya, beliau akan bertanding atas tiket Putra melawan penyandang dua penggal kerusi itu, Khalid Abdul Samad dari Parti Amanah Negara (Amanah).

“Insha-Allah, saya akan bertanding pada PRU 15 nanti di Parlimen Shah Alam atas tiket parti Putra.

“Mohon bantuan dan sokongan semua,” katanya ringkas menerusi ciapan Twitternya, hari ini.

Mohd Khairul Azam pernah bertanding PRU di Parlimen Pandan pada 2018, tetapi sekadar mendapat 73 undi, sekali gus hilang wang pertaruhan.

Dalam pertandingan lima penjuru itu, calon PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail mendapat 64,733 undi.

Khalid pula memenangi kerusi Parlimen Shah Alam selama dua penggal iaitu PRU 13 atas tiket Pas dan PRU 14 tahun 2018 atas tiket Amanah.

Pengarah Komunikasi Amanah itu mendapat 49,009 undi pada PRU-13 tahun 2013, mengalahkan calon Barisan Nasional (BN) yang juga peguam, Datuk Zulkifli Noordin yang memperoleh 38,070 undi.

Namun, pada PRU 14, Khalid yang keluar dari Pas dan bertanding atas tiket Amanah mengekalkan kerusi itu apabila mendapat 55,949 undi, mengalahkan calon BN, Datuk Azhari Shaari (22,100 undi) dan calon Pas, Dr. Mohd Zuhdi Marsuki (15,194 undi). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.