ACP Nik Ezanee Mohd Faisal.

KUALA LUMPUR – Tindakan seorang lelaki yang memukul anak perempuannya yang didakwa tidak fokus dalam kelas atas taliannya membawa padah apabila ditahan polis.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, kejadian berlaku pada 31 Oktober lalu sekitar jam 3.16 petang di sebuah rumah di SS4D/9 Kelana Jaya dekat sini.

“Polis kami telah menerima satu laporan polis berkenaan seorang kanak-kanak perempuan berumur 12 tahun yang menjadi mangsa dipukul bapanya berusia 41 tahun di kediaman mereka.

“Pengadu seorang wanita yang bekerja sebagai guru sekolah rendah di Shah Alam berusia 36 tahun dalam laporan menyebut semasa membuat kelas online bersama pelajar sekolahnya, pengadu melihat mangsa dipukul suspek menggunakan kayu atau tongkat di belakang badan mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Nik Ezanee, bertindak atas maklumat tersebut, poolis berjaya menahan suspek di tempat letak kereta Seksyen 8, Petaling Jaya.

Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek memukul mangsa bertujuan mengajar anaknya supaya lebih peka dalam kelas online itu.

“Suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau namun mengaku melakukan perbuatan itu (pukul anak).

“Suspek telah diberi jaminan polis atau faktor kesihatan dan  disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

“Manakala mangsa pula pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat melakukan penilaian dan membuat keputusan agar yang diserahkan kembali kepada keluarganya,” tegasnya.-MalaysiaGazette