Seorang penunggang motosikal maut setelah terlibat dalam satu kemalangan di Kilometer 58, Jalan Jementah - Muar kira-kira pukul 2.30 petang semalam.

PARIT – Dua anggota polis Unit Ronda Bermotosikal cedera ringan selepas motosikal ditunggangi mereka dirempuh sebuah kereta Mercedes-Benz yang dipandu seorang warga emas yang sedang memasuki kawasan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah, di sini, tengah hari tadi.

Pemangku Ketua Polis Daerah Perak Tengah DSP Nik Rosdi Nik Yahya berkata dua anggota berpangkat Lans koperal seorang lelaki dan wanita masing-masing berusia 26 dan 32 tahun itu, mengalami kecederaan di badan.

Katanya, kejadian berlaku selepas warga emas berumur 64 tahun itu terlibat dalam satu kemalangan jalan raya di sebuah persimpangan lampu isyarat, pada kira-kira pukul 12 tengah hari tadi.

Nik Rosdi berkata rentetan kemalangan itu, kereta berkenaan diiring pihak polis ke IPD Perak Tengah sebelum warga emas itu diarah memberhentikan kenderaannya semasa melalui pos pengawal di IPD berkenaan.

“Pemandu itu diarah untuk mematikan enjin kenderaan dan menurunkan tingkap kereta bahagian pemandu, namun secara tiba-tiba dia bertindak mengundurkan keretanya sebelum melanggar bahagian hadapan kereta Proton Preve polis yang kebetulan berhenti di belakangnya untuk memasuki kawasan IPD ,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Nik Rosdi berkata, pemandu itu kemudiannya memecut masuk ke dalam kawasan IPD dan melanggar dua anggota Unit Ronda Bermotosikal Balai Seri Iskandar yang mahu bertugas sehingga kedua-duanya tercampak ke bahu jalan.

Sebuah daripada motosikal anggota berkenaan diseret sejauh hampir 100 meter.

Katanya,  anggota berkenaan menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Changkat Melintang manakala dua motosikal ditunggangi mereka rosak teruk akibat dilanggar.

Nik Rosdi berkata suspek yang bercakap seorang diri dipercayai mengalami halusinasi tidak mengalami sebarang kecederaan dan hasil semakan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.

Katanya suspek dibawa ke hospital sama untuk diambil sampel darah dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cubaan bunuh dan siasatan turut dijalankan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, IPD Perak Tengah atas kesalahan memandu melulu sehingga menyebabkan kecederaan.

— BERNAMA