Suruhanjaya Sekuriti

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) mengingatkan orang ramai mengenai peningkatan ketara skim penipuan firma klon tahun ini.

Skim penipuan oleh syarikat palsu ini menyamar sebagai entiti yang sah, termasuk menyalahguna nama dan logo syarikat awam tersenarai (PLC) untuk memperdaya pelabur dan mendapatkan dana daripada mereka.

Firma-firma klon ini menawarkan peluang pelaburan yang tidak wujud termasuk dalam bentuk saham PLC ini, dengan menjanjikan pulangan yang tidak munasabah dalam jangka masa singkat.

Pada bulan Mei, SC juga mengeluarkan peringatan mengenai firma klon penipuan yang menyamar sebagai pengantara pasaran modal berlesen.

Skim penipuan klon terkini termasuk PLC dalam sektor perubatan, sarung tangan dan hartanah yang telah menarik minat pelabur semasa wabak Covid-19.

Entiti yang terlibat telah membuat laporan polis dan/atau membuat aduan kepada SC mengenai pengklonan identiti korporat mereka oleh individu atau organisasi yang tidak dikenali.

Selain nama dan logo PLC ini, penipu ini juga menggunakan bukti kelayakan korporat, laman sesawang dan butiran lain entiti yang sah ketika mempromosi skim ini melalui saluran media sosial seperti Facebook, WhatsApp dan Twitter.

SC berkata, mangsa kebiasaanya diarahkan untuk memberi maklumat peribadi seperti nama, nombor kad pengenalan dan butiran bank, dan seterusnya akan diminta memindahkan dana ke dalam akaun bank peribadi penipu tersebut.

Setelah itu, penipu akan meminta mangsa untuk memberikan lebih banyak wang kononnya untuk pembayaran cukai pendapatan, yuran pentadbiran, caj bank, yuran pengeluaran atau kadar pertukaran.

SC mengingatkan para pelabur agar sentiasa berhati-hati ketika menilai peluang pelaburan, terutamanya yang menjanjikan pulangan yang sangat tinggi dengan sedikit atau tanpa risiko dan agar mendapatkan bimbingan penasihat berlesen dan sah.

Oleh itu, pelabur digesa untuk mengesahkan status individu atau syarikat yang menawarkan peluang pelaburan melalui laman sesawang SC:

(a) www.sc.com.my/regulation/licensing/licensed-and-registered-persons danĀ (b) www.sc.com.my/development/digital/list-of-registered-recognized-market-operators

SC juga menggesa orang ramai untuk mengesahkan butiran akaun bank melalui aplikasi dan laman sesawang “Semak Mule” dalam talian yang disediakan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial PDRM untuk menyemak kesahihan akaun bank dan nombor telefon yang digunakan untuk kegiatan penipuan atau sekiranya pemilik akaun tersebut mempunyai rekod jenayah.

Orang ramai yang mengesyaki bahawa mereka telah didatangi oleh firma atau individu yang tidak sah yang menawarkan skim yang menjanjikan pulangan yang indah khabar dari rupa, boleh melapor kepada Jabatan Pengguna dan Pelabur kami di talian 603 6204 8999 atau e-mel [email protected]. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast