RIYADH – Arab Saudi tidak mengendahkan kritikaan Amnsty International mengenai hak asasi manusia dengan mengesahkan penganjuran tuan rumah perlumbaan Formula 1 (F1) di Jeddah pada 2021.
Ia bakal menyaksikan perlumbaan pada waktu malam seperti Singapura.
Menteri Sukan, Putera Abdulaziz Turki Al Faisal berkata, kejayaan membawa perlumbaan permotoran itu membuktikan pelan tranformasi negara tersebut berada pada landasan yang tepat.
Difahamkan perjanjian sebagai penganjur F1 dimeterai untuk 10 tahun sehingga 2031.
Bagaimanapun organisasi hak asasi manusia antarabangsa, Amnesty International, mendakwa penganjuran perlumbaan F1 akan dijadikan alat untuk memadamkan rekod buruk eksploitasi hak asasi manusia di negara itu.
Ketua aktivis Amnesty di United Kingdom, Felix Jakens berkata, pengurusan F1 perlu memastikan penganjuran perlumbaan di bumi Arab Saudi tidak bercanggah dengan standard tenaga buruh yang termaktub tanpa sebarang diskriminasi.
Putera Abdulaziz menegaskan penganjuran perlumbaan F1 pada November tahun depan akan membawa perubahan positif.
“Arab Saudi telah dikritik hebat sejak dulu lagi atas alasan kami tidak bersifat terbuka kepada dunia.
“Kini kami sudah mengubah dasar dan mengamalkan keterbukaan tapi dikritik pula mengamalkan ‘pencucian sukan’ .
“Untuk rakyat Arab Saudi, perlumbaan F1 ini adalah umpama impian menjadi kenytaan yang mana kita mampu buktikan kepada dunia keupayaan kaita,” katanya.
Sebelum ini, perlumbaan F1 yang diadakan di Bahrain, Azerbaijan,, Russia, Abu Dhabi dan China berdepan kritikan teruk aktivis hak asasi manusia.
“Kami bertanggungjawab dan menyatakan pendirian kami dalam soal hak asasi manusia dan isu lain kepada semua rakan dan tuan rumah yang komited menghormati hak asasi manuia dalam penganjuran mereka,” kata kenyataan Amnesty. – MalaysiaGazette