IPOH – Seorang bekas pengurus kilang di kawasan perindustrian Chemor di sini maut dilanggar lori selepas dipercayai menceroboh dan melakukan khianat di kilang berkenaan.

Dalam kejadian kira-kira 6.42 petang semalam, suspek berusia 52 tahun yang memandu kereta jenis Honda Civic merempuh bangunan kilang, lalu membaling botol berisi petrol ke dalam pejabat pihak pengurusan sebelum bertindak merempuh sebuah bilik dalam kilang itu sehingga menyebabkan kebakaran.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP A. Asmadi Abdul Aziz berkata suspek kemudian beredar meninggalkan kilang melalui pintu utama dengan berjalan kaki menghala ke arah bahagian kiri kilang.

“Pihak bomba telah memadamkan kebakaran di tempat kejadian dan tiada pekerja kilang yang dilaporkan cedera manakala pihak kilang dianggarkan mengalami kerugian kira-kira RM1 juta,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini malam tadi.

Beliau berkata suspek kemudian disahkan meninggal dunia akibat dilanggar sebuah lori di Jalan Kuala Kangsar kira-kira sejam kemudian iaitu 7.45 malam, semasa dalam perjalanan melarikan diri dari tempat kejadian.

Asmadi berkata berdasarkan siasatan awal ke atas saksi awam, suspek dikatakan sengaja melintas jalan sehingga dilanggar lori tersebut.

“Punca kejadian dipercayai kerana suspek tidak berpuas hati terhadap pihak pengurusan kilang selepas diberhentikan baru-baru ini. Suspek digantung kerja sejak September lepas atas alasan masalah disiplin kerana mengugut pihak atasan kilang,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 427 dan 448 Kanun Keseksaan serta Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, katanya.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak dalam kenyataan berkata pihaknya segera mengerahkan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh ke lokasi kejadian bagi kerja-kerja memadamkan kebakaran kereta suspek yang terbakar 30 peratus.

“Anggota bomba menggunakan satu aliran hos bersumberkan air dari tangki jentera hingga kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya dan operasi tamat pada 9.06 malam,” katanya.

— BERNAMA

1 Komen

Comments are closed.