Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah hadir pada sidang media perkembangan terkini COVID-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 31 OKTOBER 2020.

KUALA LUMPUR – Tiga kluster baharu Covid-19 dikenalpasti manakala tiga kluster diisytihar ditamatkan pada hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, tiga kluster baharu yang dikenalpasti adalah kluster Mampulut, kluster Fores dan kluster Rengas.

Katanya, kluster Mampulut melibatkan daerah Keningau, Sabah dan kes indeks bagi kluster ini iaitu kes ke-32154 dikenal pasti positif Covid-19 hasil saringan individu bergejala pada 31 Oktober lalu dan dia telah dimasukkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah, Kompleks Sukan Keningau, Sabah.

“Saringan kontak rapat telah mengesan sebanyak 27 lagi kes positif Covid-19. Justeru sehingga 12 tengahari ini, sejumlah 209 individu telah disaring yang mana 28 kes dikesan positif Covid-19 (12 kes baharu) dan 181 lagi individu dikesan negatif.

“Kluster kedua adalah Fores dikesan di daerah Petaling, Gombak dan Klang, Selangor serta daerah Kepong di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur iaitu kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-25475) adalah kes Severe Acute Respiratory Infections (SARI) yang telah dikenal pasti positif Covid-19 pada 17 Oktober lalu dan telah dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh.

“Saringan kontak rapat telah mengesan sebanyak 19 lagi kes positif COVID-19. Malah sehingga 12 tengah hari ini sejumlah 190 individu telah disaring,yang mana 20 kes dikesan positif Covid-19 (5 kes baharu) manakala 70 individu negatif dan 100 individu masih menunggu keputusan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Menurut Dr. Noor Hisham, kluster ketiga yang dikesan adalah Kluster Rengas di daerah Kuala Kangsar, Perak.

“Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-36426 dan kes ke-36427) telah dikenal pasti positif Covid-19 hasil saringan individu-individu bergejala pada 4 November 2020 dan telah dimasukkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Perak. ‘

“Saringan kontak rapat telah mengesan sebanyak tujuh lagi kes positif Covid-19 dan sehingga 12 tengah hari tadi sejumlah 290 individu telah disaring yang mana sembilan positif Covid-19 (7 kes baharu); dan 281 individu masih menunggu keputusan,” ujar beliau.

Sementara itu, Dr. Noor Hisham memaklumkan tiga kluster telah diisytiharkan tamat pada hari ini iaitu Kluster Bah Lada di Perak, Kluster Atap di Sabah dan Kluster Bah Sahabat di Terengganu kerana tiada kes kematian baharu daripada kluster-kluster tersebut.

Katanya, sehingga 12 tengahari ini seramai 56 orang telah disaring yang mana empat kes dikesan positif dan kadar positiviti bagi kluster ini adalah 7.14 peratus.

“Bagi kluster Atap seramai 48 orang telah disaring di mana empat kes dikesan positif dan kadar positiviti bagi kluster ini adalah 8.33 peratus.

“Akhirnya bagi kluster Bah Sahabat seramai 53 orang telah disaring dengan 11 kes dikesan positif Covid-19 dan kadar positiviti bagi kluster ini adalah 20.75 peratus,” kata beliau.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast