KUALA LUMPUR – Dewan Pemuda Pas Malaysia (DPPM) berpandangan Bajet 2021 sebagai Belanjawan Pengembangan yang mampu membawa kesan penggandaan tinggi kepada ekonomi negara dalam usaha pemerkasaan dan penyusunan semula ekonomi negara.
Sayap parti Pas itu juga berpendapat, ia sebagai belanjawan yang mencatat sejarah sebagai yang terbesar negara dengan jumlah RM322.5 bilion.
Ketua Pemudanya, Ir Khairil Nizam Khirudin berkata, jumlah itu bertepatan dengan keperluan negara mendepani situasi belum pernah dihadapi dan berupaya mendokong tiga matlamat utama iaitu Kesejahteraan Rakyat, Kelangsungan Perniagaan dan Ketahanan Ekonomi.
“Pemuda Pas ucapkan terima kasih kepada kerajaan atas kesudian mendengar dan menerima cadangan Pemuda Pas yang dibawa semasa perjumpaan dengan Perdana Menteri khususnya dalam isu pengangguran dan pembangunan golongan belia.
“Kita juga merasakan belanjawan ini sangat menyeluruh dengan capaian maksima manfaatnya kepada rakyat Malaysia serta berjaya menggariskan inisiatif mengikut keutamaan bagi menghadapi situasi semasa dan mendatang yang penuh cabaran,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.
Beliau turut mengucapkan tahniah dan penghargaan kepada Kementerian Kewangan kerana mendengar pandangan daripada semua pihak termasuk pembangkang.
“Inilah tanda jiwa besar kerajaan Perikatan Nasional (PN) menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong bagi mencapai kata sepakat dan mengenepikan perbezaan politik untuk bersama berhadapan dengan semua cabaran negara dan menjaga rakyat dengan lebih serius.
“Atas sebab di atas, Pemuda Pas menyokong penuh Belanjawan 2021 ini, namun bagi menjadikan belanjawan ini benar-benar belanjawan perpaduan, kita menyeru Ahli Parlimen agar berbahas dengan matang dan sihat serta meletakkan kepentingan rakyat benar-benar di hadapan,” katanya.
Beliau menyatakan, sayap parti itu akan terus mengikuti perkembangan pelaksanaan Belanjawan 2021 terutama di peringkat kelulusan dalam Sidang Dewan Rakyat dan mengingatkan semua ahli politik dan Ahli Parlimen terus menyokong belanjawan itu agar kelebihan untuk perolehan rakyat dapat direalisasikan dengan sempurna. – MalaysiaGazette
Hahaha pabila lebai mnjilat