Wan Rosdy Wan Ismail
Wan Rosdy Wan Ismail

KUALA LUMPUR – Kerajaan Pahang mendapat peruntukan kira-kira RM45 juta dari Belanjawan 2021 untuk menaiktaraf sistem pembekalan air.

Menurut Menteri Besarnya, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, sistem pembekalan air itu melibatkan Loji Rawatan Air (LRA) Semambu dan Rumah Pam Air Kobat di Kuantan yang turut membekalkan air terawat ke kawasan perindustrian Gebeng.

Beliau berkata, dengan peruntukan itu juga, Pengurusan Air Pahang Bhd. (PAIP) dapat mengganti baharu 11 pam sedia ada di Rumah Pam Kobat, seterusnya meningkatkan kapasiti LRA Semambu sebanyak 20 peratus daripada 290 juta liter sehari kepada 350 juta liter sehari.

Ini perlu bagi mengatasi masalah ketidakupayaan pembekalan air terawat mencukupi kepada permintaan yang semakin meningkat dari pelabur dan industri kawasan perindustrian Gebeng.

“PAIP menjangkakan tempoh 10 bulan untuk menyempurnakan kerja menaiktaraf ini, termasuk proses rekabentuk dan perolehan selama empat bulan serta proses pembinaan lagi enam bulan.

“Menerusi usaha menaiktaraf ini, pembekalan air secara lebih stabil dapat dilakukan termasuk ke kawasan perindustrian berkenaan, sekali gus meningkatkan lagi keyakinan pelabur dan industri ke sana,” katanya.

Wan Rosdy mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan dan Kementerian Kewangan atas keputusan dan pengumuman mengenai peruntukan RM45 juta itu.

Beliau juga mengalu-alukan peruntukan dua lagi projek melibatkan secara langsung negeri itu daripada semua tujuh projek seluruh negara yang bernilai RM3.8 billion.

Dua projek itu ialah Central Spine Road (CSR) melibatkan jajaran baharu dan jalan pintasan Cameron Highlands.

“Semoga dengan pelaksanaan dua projek ini akan meningkatkan lagi aspek kemudahsampaian serta memendekkan tempoh perjalanan antara destinasi berkenaan, selain dapat mengatasi masalah kesesakan lalu lintas di kawasan terbabit,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.