Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf hadir di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, Selangor bagi mendengar keputusan representasi untuk menyemak pertuduhan mengabaikan Zayn Rayyan Abdul Matiin. Foto AIZAT ZAINAL, 6 Disember 2024. (GAMBAR FAIL)

PETALING JAYA – Gambar Zayn Rayyan Abdul Matin memakai lampin pakai buang merupakan antara 142 keping gambar yang dikemukakan pihak pendakwaan pada perbicaraan kes ibu bapanya yang didakwa mengabaikan kanak-kanak autisme itu hari ini.

Gambar-gambar tersebut dirakam sebelum dan selepas bedah siasat dilakukan termasuk kawasan persekitaran kediaman keluarganya.

Ia dikemukakan oleh jurugambar polis, Detektif Koperal Mohamad Hirwan Arifin ketika memberi keterangan pada perbicaraan kes Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf di Mahkamah Sesyen hari ini.

Pasangan tersebut dilihat menangis ketika mendengar keterangan saksi pendakwaan pertama itu yang diminta mengesahkan gambar-gambar sebelum dan selepas bedah siasat yang dirujuk oleh Timbalan Pendakwa Raya Kamarul Iman Ahmad Sapian.

Pada peringkat itu, Zaim tidak dapat menahan sebak sehingga terpaksa ditenangkan oleh Ismanira dengan mengusap bahunya sebelum lelaki itu meminta kebenaran melalui peguam Haresh Mahadevan untuk ke tandas.

Permohonan itu dibenarkan oleh mahkamah dan perbicaraan ditangguhkan seketika.

Pasangan tersebut sedang dibicarakan atas pertuduhan bersama-sama sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap Zayn Rayyan telah mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal.

Kesalahan didakwa dilakukan di sekitar Jalan PJU Damansara Damai di sini pada pukul 12 tengah hari, 5 Disember dan pukul 9.55 malam, 6 Disember 2023.

Pada sesi pemeriksaan utama itu, Mohamad Hirwan berkata, beliau menerima arahan pegawai penyiasat, Asisten Superintendan, Mohd. Hafizee Ismail untuk merakam gambar bedah siasat mangsa di Hospital Sungai Buloh pada 7 Disember 2023.

Menurut beliau, ketika itu kes disiasat berdasarkan laporan polis Kota Damansara berkaitan kejadian Orang Hilang (OH).

Menurut saksi pendakwaan pertama itu, gambar itu turut menunjukkan muka dan keseluruhan tubuh Zayn selain gambar mangsa memakai lampin pakai buang selepas baju dan seluarnya ditanggalkan ketika bedah siasat dilakukan.

Selain itu, gambar menunjukkan bahagian kemaluan dan bahagian belakang badan serta punggungnya.

Jurugambar itu turut menyatakan pada 8 dan 10 Disember 2023, dia diarah ke kediaman keluarga mangsa untuk merakam gambar lokasi berkenaan serta kereta Zaim manakala gambar beg dan botol air Zayn dirakam pada 13 Disember tahun yang sama.

Sementara itu, ketika disoal balas oleh Haresh, saksi berkata, dia tidak pasti sama ada pasangan itu hadir ketika proses rakaman gambar dilakukan di lokasi kediaman kedua-duanya.

Perbicaraan di hadapan Hakim Dr. Syahliza Warnoh bersambung esok. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Bicara kes abai Zayn Rayyan bermula petang ini, mahkamah tolak bantahan awal peguam

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast