Razali Mohd Sham

KUALA LUMPUR – Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (PAPUH) merasakan pemain industri negara ini menunggu masa untuk rebah dan berkubur, jika kerajaan langsung tidak nampak kepentingannya.

Industri itu, jika dilihat secara mendalam, ia ketika ini amat tenat seperti berada dalam ICU tanpa menggunakan bantuan alat pernafasan.

Demikian kesimpulan yang dibuat oleh Presiden PAPUH, Datuk Seri Razali Mohd Sham, yang melahirkan rasa sedih dan kecewa dengan pembentangan Belanjawan 2021 oleh Menteri Kewangan di Parlimen semalam.

Beliau berkata, sektor pelancongan adalah yang ketiga menyumbangkan sebanyak 14.9 peratus dari Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kepada pendapatan negara sebelum wabak Covid-19 melanda negara.

Katanya, sektor itu telah menyumbang pendapatan negara sebanyak RM66.1 bilion pada tahun 2019 seperti yang dilaporkan oleh MOTAC.

Begitu juga dengan cukai pelancongan, menyumbang sedikit sebanyak kepada pendapatan negara, yang mana cukai itu telah diperkenalkan pada 1 September 2017 yang dikenakan kepada pelancong asing.

“Kini, ahli-ahli hanya mempunyai harapan kepada Skim Pembiayaan Sektor Pelancongan PENJANA sebanyak RM1 bilion yang telah diumumkan Perdana Menteri pada Jun lalu.

“Bagaimanapun, ahli kami merasa seperti dipersendakan oleh institusi kewangan kerana selepas lima bulan diumumkan, kami diberitahu hanya tiga peratus sahaja dana tersebut telah diluluskan permohonan mereka.

“Ada antara ahli kami yang mengusahakan kenderaan pelancongan yang amat terkesan di masa ini, yang mana rata-rata menggunakan khidmat syarikat kredit untuk pinjaman mereka,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Menurut Razali, syarikat kredit itu pula tidak membantu langsung ahli PAPUH dalam penyusunan semula jadual pembayaran balik pinjaman di masa sukar ketika ini.

Jelas beliau, disebabkan keadaan meruncing dihadapi ahli yang telah hilang punca pendapatan dari Februari sehingga sekarang, PAPUH merayu kepada kerajaan untuk membuka pintu sempadan antarabangsa kepada jemaah Malaysia bagi mengerjakan ibadah Umrah dengan SOP yang ketat pada 1 Januari 2021 selepas berakhirnya Perintah Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang berakhir pada 31 Disember 2020.

“Ini akan dapat memberi sedikit ruang kepada ahli kami bernafas kembali. PAPUH ini mencadangkan kepada kerajaan untuk membenarkan pelancong dari negara (zon) hijau untuk melawat Malaysia dengan mengadakan SOP ketat seperti kuarantin 14 hari semasa tiba serta insuran perjalanan yang wajib.

“SOP ini telahpun diguna pakai oleh Thailand bagi pelancong dari China dan berjaya menghidupkan semula industri pelancongan di negara mereka, sekali gus dapat merancakkan ekonominya.

“Sekiranya sempadan antarabangsa tidak dibuka, ramai antara ahli PAPUH akan muflis, syarikat bankrap dan pekerja akan hilang pekerjaan. Adakah ini yang kerajaan mahukan?,” soal beliau.

Beliau menyeru kerajaan membekukan pengambilan pekerja asing melalui program pengambilan semula (re-hiring) dan juga permohonan pengambilan pegawai dagang (expatriate) yang telah diumumkan Kementerian Sumber Manusia baru-baru ini.

Sepatutnya, tegas Razali, kerajaan lebih perihatin untuk memberi peluang pekerjaan itu kepada rakyat sendiri yang telah kehilangan pekerjaan dan sumber pendapatan.

“Ahli kami juga telah dilambakkan dengan saman dari mahkamah dan juga Tribunal Tuntuntan Pengguna, yang mana telah difailkan oleh pelanggan mereka untuk menuntut bayaran deposit dan juga bayaran penuh pakej pelancongan yang telah terkandas disebabkan oleh pandemik Covid-19.

“PAPUH mahu kerajaan terutamanya MOTAC mengeluarkan satu solusi untuk menyelesaikan tuntutan ini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast