KUALA LUMPUR – Ketua jurulatih Perak, Mehmet Durakovic tetap menganggap aksi menentang Kelantan United tidak mudah yang disangka meskipun menguasai keseluruhan perlawanan untuk menang 4-0 sekaligus mara suku akhir TM Piala Malaysia 2020,
Perlawanan yang berlangsung di Stadium Perak, Ipoh kelmarin menyaksikan pemain tengah The Bos Gaurus, Leandro Dos Santos menjadi tulang belakang pasukan apabila meledak hatrik untuk memberi tekanan berterusan kepada lawan.
Skuad kendalian Nazrul Erwan Makmor itu dikejutkan seawal minit ketujuh apabila pemain kelahiran Brazil itu menyempurnakan sepakan penjuru Firdaus Saiyadi sebelum dia menambah dua lagi gol untuk Perak pada minit-21 dan 48.
Nyata, Kelantan United terus hilang arah sehingga peluang terus dirembat skuad tuan rumah menerusi Careca dengan gol keempat pasukan pada minit akhir perlawanan sekali gus menoktahkan kemenangan Perak.
Namun, Durakovic tidak merasakan anak buahnya berdepan aksi yang mudah kerana Kelantan United juga tetap memberikan tentangan di atas padang, tetapi fokus yang diberikan oleh barisan pemain sepanjang perlawanan menjadikan Perak mampu untuk menguasai perlawanan.
“Sebenarnya, ia bukan perlawanan yang mudah, tetapi pemain-pemain saya hanya mengikut perancangan yang diberikan dan kami menghormati lawan seperti Kelantan United yang tidak kurang hebatnya.
“Apa-apa pun, saya sangat gembira dengan prestasi pemain saya kerana mereka sememangnya mempersembahkan aksi yang cukup memberangsangkan”, katanya.
Dalam satu lagi perlawanan berlangsung, Terengganu FC (TFC) turut sama mara ke suku akhir berentap dengan Perak sekali gus mengulangi final Piala Malaysia 2018.
Pengendali TFC, Nafuzi Zain nyata berpuas hati dengan aksi yang ditampilkan pemain walaupun terpaksa berpuas hati dengan satu gol sahaja berdepan PJ City FC untuk mendapat kemenangan.
Pemain tengah dari Uzbekistan, Sanjar Shaakhmedov berjaya meledak gol pada minit ke-37 meletakkan TFC di hadapan dan keputusan itu kekal sehingga tamat perlawanan apabila skuad kendalian K.Devan gagal menembusi pertahanan tuan rumah.
“Alhamdulillah pasukan layak ke suku akhir dan pujian diberikan kepada semua pemain yang sudah beraksi sebab kita tahu PJ City FC bukan pasukan yang mudah untuk kita lawan.
“Mereka juga bertahan dengan cukup baik, namun pemain-pemain saya kekal fokus dan betul-betul pamer disiplin yang tinggi, jadi 1-0 sudah memadai untuk kita layak ke suku akhir bertemu Perak,” jelasnya. – MalaysiaGazette