Muhammad Safawi Rasid

KUALA LUMPUR – Impian penyokong bola sepak negara untuk melihat bintang sensasi, Safawi Rasid beraksi pertama kali di liga luar negara sekali lagi tidak kesampaian apabila bekas pemain JDT itu  tidak diturunkan ketika bertemu Porto, awal pagi tadi.

Penyerang kebangsaan itu disenaraikan buat kali pertama di bangku simpanan Portimonense SC namun rezeki masih lagi belum berpihak kepada pemain itu untuk meraih penampilan sulung bersama skuad utama di bumi Eropah.

Pada aksi di Estadio de Dragao itu, Porto yang juga penyandang juara Primeira Liga membuktikan mereka bukanlah tandingan Portimonense SC apabila memenangi perlawanan dengan keputusan 3-1.

Bagaimanapun, Portimonense SC terlebih dahulu mengejutkan lawan apabila mendahului seawal minit ke-14 menerusi penyudah Beto.

Namun jaringan Chanel Mbemba, Mehdi Taremi dan Sergio Oliveira memastikan tuan rumah berjaya menambah tiga lagi mata.

Kekalahan itu menyaksikan Portimonense SC yang dibimbing Paulo Sergio menghuni tangga tercorot Primeira Liga apabila sekadar meraih satu kemenangan dan satu seri daripada tujuh perlawanan untuk menghimpun empat mata. – MalaysiaGazette