Leicester City memperolehi lapan sepakan penalti pada EPL musim ini.

LONDON – Gol tunggal Jamie Vardy menentang Wolverhampton dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) malam tadi berjaya membantu Leicester City melonjak ke tangga teratas takhta liga dengan 18 mata.

Tottenham Hotspurs menduduki tangga kedua selepas menang tipis ke atas West Bromwich Albions dalam satu lagi aksi berasingan.

Dalam aksi di Stadium King Power, Vardy mendapat peluang membuka jaringan menerusi penalti pada minit ke-15 selepas rembatan Dennis Praet terkena tangan Max Kilman.

Ia sekaligus menyaksikan skuad itu merekodkan kemenangan keenam berturut-turut peringkat domestik dan Eropah.

Walaupun the Foxes kehilangan perancang tengah Wilfred Ndidi dan bintang pertahanan Daniel Amartey dan Ricardo Pereira, pemain baharu berjumlah £25 juta Timothy Castagne dan Caglar Soyuncu menangani masalah itu dengan mempamerkan aksi cemerlang di kedua-dua bahagian penting itu.

“Kami masih gagal mempamerkan aksi yang lebih baik walaupun menang tipis,” kata pengurusnya Brendan Rodgers selepas merekodkan sembilan kemenangan daripada 12 aksi sepanjang musim ini.

Wolves nyaris membuka gol penyamaan dengan rembatan agak merbahaya di gawang gol tuan rumah namun berjaya ditepis oleh penjaga gol Kasper Schmeichel dengan tepisan bola luar biasa di udara untuk membantu skuad mengesahkan tiga mata penuh dan melonjak ke tangga teratas liga.- MalaysiaGazette