Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika membentangkan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat, Parlimen, Kuala Lumpur. foto IHSAN JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 06 NOVEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Kerajaan telah menyalurkan sebanyak RM11.9 bilion kepada seramai 16.3 juta penerima untuk bantuan bersifat sekali bayar atau one-off sehingga 23 Oktober lalu.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kerajaan turut mengurangkan tekanan beban kewangan isi rumah dengan bentuk bantuan lain.

Jelas beliau, ia meliputi pemberian diskaun bil elektrik dan pengecualian bayaran sewa rumah membabitkan rumah PPR disewa atau transit bawah pengurusan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

“Dalam usaha mengurangkan bilangan rakyat yang terjejas dan peningkatan pada jumlah pengangguran, kerajaan telah mengumumkan Program Subsidi Upah (PSU) dan PSU 2.0 yang merupakan bantuan kewangan untuk membantu majikan yang terkesan akibat Covid-19 supaya dapat meneruskan operasi syarikat serta mengelakkan pekerja hilang pekerjaan dan punca pendapatan.

“Sehingga 23 Oktober 2020, sebanyak RM11.9 bilion subsidi upah telah diluluskan untuk memanfaatkan lebih 322,00 majikan serta lebih 2.6 juta pekerja. Keseluruhannya, hampir RM18 bilion tersedia untuk program PSU dan PSU 2.0,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahmad Nazlan Idris (PN-Jerantut) mengenai perancangan kerajaan pasca Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) wabak Covid-19 bagi membantu rakyat yang kehilangan sumber pendapatan atau pun yang pendapatan mereka yang semakin mengecil akibat daripada potongan gaji dan sebagainya.

Tengku Zafrul menegaskan, kerajaan akan kekal komited membantu rakyat, perniagaan dan ekonomi dalam mendepani cabaran-cabaran yang mendatang, pasca Covid-19. Moga semua pihak dapat berganding bahu demi rakyat dan negara tercinta, dengan laungan semangat. – MalaysiaGazette