Nasihat Rara kepada orang ramai agar mematuhi SOP tetapi pada masa sama beliau sendiri melanggarnya. Gambar dalam Instagram itu kemudian dipadamkan.

KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari dari DAP, Young Syefura Othman memohon maaf kerana dikatakan melanggar prosedur standard operasi (SOP) kerana tidak memakai pelitup muka di tempat terbuka.

Beliau yang lebih mesra dengan panggilan Rara sepatutnya berada di kawasannya di Ketari, Bentong itu dikatakan merentas negeri masuk ke Selangor untuk menyambut hari ulang tahun di pantai berdekatan Avani Sepang Goldcoast Resort, baru-baru ini.

“Saya memohon maaf jika tindakan saya melanggar sebarang SOP Covid-19.

“Saya tidak menggunakan sebarang kelebihan sebagai seorang wakil rakyat untuk bergerak dalam Selangor, negeri saya bermastautin.

“Saya rela disiasat oleh pihak berkuasa jika tindakan saya melanggar sebarang SOP Covid-19. Terima kasih,” ciap beliau dalam Twitternya semalam.

Selepas teruk kena kecam netizen, Rara akhirnya buka mulut mohon maaf langgar SOP PKP.

Beliau turut memuat naik gambar di Instagram miliknya yang dirakam bersama empat kawan ketika menyambut hari ulang tahun itu di pantai dengan semuanya tidak menjaga penjarakan sosial dan tidak memakai pelitup muka.

Bagaimanapun, gambar yang ditulis dengan kapsyen thirty-one itu telah dipadamkan dari Instagram beliau.

Gara-gara gambar tersebut yang tular, Rara dikritik hebat oleh netizen kerana didakwa mereka tindakan wakil rakyat muda itu melanggar SOP.

Young Syefura Othman.Pada 30 Julai lalu, menerusi Twitternya juga, Rara pernah menciapkan nasihat dan peringatan kepada orang ramai agar mematuhi SOP dan tidak sia-siakan pengorbanan barisan hadapan membendung penularan Covid-19.

“Jangan kita sia-siakan pengorbanan mereka (barisan hadapan) dengan (kita) terus mengamalkan penjarakan sosial, memakai pelitup muka dan menjaga kebersihan diri,” kata Rara dalam hantaran tersebut.

Sebelum itu, pimpinan DAP termasuk Lim Kit Siang antara yang kuat mengkritik tindakan pelanggaran SOP pemimpin Pas, Datuk Mohd Khairuddin Aman yang tidak kuarantin selepas pulang dari luar negara.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.