Huzir Mohamed

KUALA LUMPUR – Bukit Aman mengesahkan tangkapan seorang lelaki yang didakwa menghalang penjawat awam menjalankan tugas ketika menyiasat berhubung paparan di Facebook bertajuk YDPA Should Not Interfere in National Affairs.

Pengarah Siasatan Jenayah, Datuk Huzir Mohamed berkata, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Kajang telah membuat serbuan di sebuah rumah di Petaling Jaya bagi melengkapkan siasatan kes berkenaan.

Menurutnya, serbuan itu dilakukan dengan peruntukan di bawah Seksyen 8(2) Akta Hasutan 1948.

Pasukan polis telah menunjukkan kad kuasa kepada seorang lelaki Cina namun dia enggan memberi kerjasama sebaliknya mengunco pintu dari dalam.

”Kemudian seorang wanita Cina yang mengaku peguam dan seorang lelaki Cina lain datang.

“Lelaki Cina itu telah membuat rakaman secara langsung melalui Facebook walaupun beberapa kali diberi amaran agar menghentikan tindakannya,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Ekoran itu, lelaki berusia 23 tahun itu ditahan kerana mengganggu proses siasatan serta menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

Telefon binbit berkenaan bersama kad sim dirampas.

Huzir berkata, tangakapan itu dibuat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam dalam menjalankan fungsi jawatannya.

“Tangkapan itu berlandaskan undang-undang dan peruntukan sedia ada demi kepentingan siasatan. Perlu diingat setiap siasatan adalah sulit,” tegasnya.

Pegawai yang terlibat dalam serbuan mendapati lelaki itu mengingkari perintah yang diisytiharkan oleh pegawai polis, yang juga penjawat awam sebagaimana diperuntukan di bawah Seksyen 188 Kanun Keseksaan.

Huzir menambah, tindakan merakam gambar video bikan suatu kesalahan jenayah tetapi demi kepentingan siasatan sekiranya gambar atau video dikongsi, disebar dan ditular di media sosial dalam apa juga cara, ia boleh mengganggu siasatan.

Malah ia bertentangan dengan peruntukan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. – MalaysiaGazette