seekor ibu beruang bersama anaknya di atas kapal selam yang ditembak mati. foto Agensi

MOSCOW – Tentera Laut Rusia mempertahankan tindakan menembak seekor ibu beruang dan anaknya di atas kapal selam nuklear yang menimbulkan kemarahan dalam kalangan pengguna media sosial.

Tentera laut memaklumkan pihaknya tidak ada pilihan lain setelah haiwan itu naik ke atas kapal yang berlabuh di pangkalan Vilyuchinsk di wilayah Kamchatka di timur jauh.

Ratusan pengguna media sosial menuduh tentera laut melakukan kekejaman setelah melihat video rakaman itu dikongsikan dalam talian.

“Haiwan!” dan “Intipati keseluruhan Rusia dalam satu video” adalah beberapa komen.

Rakaman itu disiarkan pada 8 November namun tidak dipastikan bila ia berlaku.

Dalam video tersebut, salah satu haiwan itu dilihat terjatuh ke dalam air setelah terkena peluru.

Suara lelaki dalam video itu terdengar menyatakan haiwan itu akan pergi ke kampung-kampung tempatan sekiranya mereka dihalau.

Beruang, yang spesiesnya tidak didedahkan, dipercayai berenang melintasi teluk untuk memasuki kapal selam dengan alasan yang tidak diketahui.

Semenanjung Kamchatka adalah habitat bagi sekitar 24,000 beruang yang sering dilihat di pantai. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast