KUALA LUMPUR – Penyerang muda negara yang beraksi di Eropah, Luqman Hakim akan mula menjalani latihan secara individu bermula minggu hadapan.
Perkara ini diumumkan oleh KV Kortrijk dalam satu kenyataan.
“Luqman mengalami kecederaan otot hamstring yang koyak. Jika semuanya berjalan lancar, beliau akan mula berlatih secara individu pada minggu hadapan,” kata kenyataan.
Luqman mengalami kecederaan hamstring pada kaki kanannya ketika menjalani sesi latihan, sehari selepas aksi menentang RSC Anderlecht dalam saingan Jupiler Pro League bulan lalu.
Setelah dianalisis oleh pihak perubatan kelab, otot Luqman koyak sepanjang 1.9 sentimeter sekaligus dinasihatkan agar berehat selama tiga minggu.
Disebabkan kecederaan yang dialami, Luqman terlepas aksi menentang K Beerschot minggu lalu yang mana Kortrijk meraih keputusan seri 5-5.
Semalam menerusi kemaskini terbaharu laman sosial Instagram milinya, Luqman kini sedang dalam proses ‘menyiapkan’ badannya untuk mencabar bola sepak di Eropah.
Jelas dari gambar itu kelihatan otot-otot badan bekas pelatih Akademi Mokhtar Dahari itu yang sudah mula timbul dan terserlah bentuk sebagai pemain bola sepak profesional yang memiliki fizikal yang semakin baik. – MalaysiaGazette
Bagus. Balik nti kongsi teknik dengan pemain Malaysia yang rata rata tak fokus kepada saiz badan. Terlalu pegang dgn prinsip kalau skill hebat, badan kecik pun xpa.