Gambar hiasan

KUALA LUMPUR- Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menguncup lebih perlahan 2.7 peratus pada suku ketiga 2020 berbanding penguncupan ketara 17.1 peratus suku sebelumnya.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, prestasi lebih baik suku ketiga itu didorong oleh pemulihan sektor pembuatan.

Sementara bagi sektor-sektor lain pula, meskipun menunjukkan pertumbuhan negatif namun prestasinya lebih baik berbanding suku sebelumnya.

Jelasnya, keseluruhan prestasi ekonomi pada suku tahun ketiga didorong terutamanya oleh sektor pembuatan yang tumbuh 3.3 peratus berbanding penurunan 18.3 peratus pada suku tahun sebelumnya, disokong oleh Produk elektrik, elektronik & optikal dan Minyak dan lemak daripada sayuran & haiwan dan prosesan makanan.

Prestasi memberangsangkan disumbang oleh industri berorientasikan eksport yang menokok 5.0 peratus (ST2 2020: -13.5%) suku tahun ini ditunjukkan oleh prestasi eksport keseluruhan pada bulan September 2020 yang merekodkan pertumbuhan positif dua-digit.

“Pada suku tahun ketiga 2020, pemulihan berterusan dapat dilihat melalui prestasi ekonomi negara dalam menghadapi cabaran bagi membendung penularan pandemik COVID-19 melalui pelbagai fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuatkuasa mulai 10 Jun 2020 setelah pembukaan semula aktiviti ekonomi dan sekatan perjalanan merentas negeri.

“Dengan hampir keseluruhan sektor ekonomi kembali beroperasi, kadar pengangguran menyusut 4.7 peratus pada suku tahun ini berbanding 5.1 peratus pada suku tahun kedua 2020,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Uzir berkata, sektor perkhidmatan mencatatkan penguncupan empat peratus, lebih kecil berbanding penguncupan 16.2 peratus pada suku kedua 2020 disumbang oleh subsektor kewangan & insurans serta maklumat & komunikasi.

Subsektor Perdagangan borong dan runcit merekodkan kemerosotan yang lebih kecil 2.5 peratus disumbangkan oleh prestasi kenderaan bermotor yang mula menunjukkan pemulihan dengan pertumbuhan positif semasa suku tahun ini.

Ini adalah selari dengan pengecualian cukai jualan bagi kereta tempatan dan cukai yang rendah bagi kereta import oleh kerajaan telah meningkatkan jualan kenderaan bermotor pada suku tahun ini.- MalaysiaGazette