KUALA LUMPUR – Prasarana Malaysia Berhad melalui anak syarikatnya Rapid Bus Sdn Bhd akan melancarkan perkhidmatan percubaan van perantara LRT bagi memantapkan lagi hubungan rangkaian pengangkutan awam.

Jelas Ketua Pegawai Eksekutif, Rapid Bus, En. Muhammad Yazurin Sallij, van perantara ini diperkenalkan bagi menyelesaikan masalah jalan raya yang terlalu sempit bagi kenderaan lebar.

Perkhidmatan van ini ujarnya, dilaksanakan bermula esok sehingga 16 Mac depan sebagai tempoh percubaan bagi laluan T252 sahaja iaitu dari PPR Sungai Bonus ke LRT Wangsa Maju (melalui PPR Desa Rejang).

“Percubaan ini menggunakan 3 buah van berwarna merah jambu dan berkapasiti 10 orang penumpang. Perkhidmatan ini disediakan dari jam 6.00 pagi sehingga 12.00 tengah malam
dengan kadar tambang RM1 melalui kaedah pembayaran pas tanpa had My30, Touch ‘N Go dan Kad Konsesi sahaja,” katanya menerusi kenyataan.

Menurut Muhammad Yazurin, maklumbalas pengguna perkhidmatan van perantara ini akan digunakan Prasarana bagi menganalisa keperluan dan kecekapannya kelak.

“Kami berharap penduduk di sekitar laluan baru ini dapat mencuba perkhidmatan ini serta memberikan maklum balas kepada kami mengenai T252 ini,” tambahnya.

Bagi mengetahui lokasi semasa van, pelanggan digalakkan menggunakan aplikasi Google Maps atau Moovit atau melayari portal MyRapid Bus Kiosk di https://myrapidbus.prasarana.com.my/kiosk. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast