KUALA LUMPUR- Sekretariat Majlis Tindakan Ekonomi (MTE) menerima cadangan daripada komuniti perniagaan supaya prosedur standard operasi (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) disemak semula.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, semakan semula SOP berkenaan adalah untuk memastikan aktiviti perniagaan dapat diteruskan dan kembali pulih secepat mungkin.
“Sekretariat Majlis Tindakan Ekonomi (MTE) telah menerima maklum balas daripada beberapa sektor, termasuk sektor peruncitan, penjaja, peniaga kecil, pengendali tadika, pengusaha hotel dan restoran, pemandu teksi serta informal mengenai kesan PKPB ke atas perniagaan mereka.
“Umumnya sektor perniagaan serta perusahaan mikro, kecil dan sederhana mengalami banyak cabaran sejak PKPB dilaksanakan pada 14 Oktober 2020,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Mustapa, sekretariat akan membawa semua maklum balas tersebut kepada mesyuarat MTE minggu ini untuk dibincangkan.
“Dalam masa yang sama, kita perlu memperkukuhkan tekad dan lebih kreatif untuk mencari jalan bagi memastikan kehidupan seharian dapat disesuaikan dengan norma baharu agar mampu diteruskan dengan sebaik mungkin serta berusaha melandaikan keluk penularan pandemik ini,” ujarnya lagi. – MalaysiaGazette