Pengurus Projek (Pemerolehan) Semula Sisa Alam Flora, Ismi Azura Istear Khan menimbang bahan buangan untuk dikitar semula di Fasiliti Inovasi Kitar Semula (FIKS) di Presint 5, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 17 NOVEMBER 2020.

PUTRAJAYA – Kewujudan Fasiliti Inovasi Kitar Semula (FIKS) yang pertama di Malaysia mampu membantu kerajaan mencapai matlamat bagi meningkatkan sasaran kadar kitar semula melebihi 40 peratus menjelang tahun 2025.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, sehingga kini hampir 32 peratus sasaran telah dicapai dan menjangkakan perkara sama pada tahun depan.

“Kira-kira 40 peratus mungkin mudah dicapai bagi saya, Insya-Allah dalam masa terdekat pada tahun 2021. Kewujudan FIKS ini bukan sahaja memudahkan masyarakat setempat tetapi juga lokasi untuk dikunjungi.

“Kita perlukan pusat kitar semula yang sistematik dan FIKS merangkumi kesemua yang diperlukan,” katanya selepas mengadakan lawatan kerja ke Fasiliti Inovasi Kitar Semula di Presint 5, Putrajaya hari ini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin (tengah) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora Sdn Bhd, Datuk Mohd Zain Hassan (kanan) melakukan gimik perasmian ketika lawatan ke Fasiliti Inovasi Kitar Semula (FIKS) di Presint 5, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 17 NOVEMBER 2020.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zainal Abu Hassan dan Ketua Pengarah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara, Suliman Abd. Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora Environmental Solutions Sdn Bhd, Datuk Mohd Zain Hassan.

Sementara itu, Mohd Zain berkata, FIKS berkemampuan untuk mengendalikan sisa dengan kapasiti lebih besar iaitu dari 300 tan sehingga 500 tan sebulan dan akan ditambah lagi jumlahnya.

Katanya, sejak FIKS dibuka secara rasmi pada bulan Julai lalu dengan menelan kos perbelanjaan RM120 juta, fasiliti itu telah menerima lebih 500 pengunjung yang datangnya daripada syarikat-syarikat korporat, agensi kerajaan dan juga orang awam.

“Ini menunjukkan FIKS mampu menarik perhatian pelbagai pihak untuk mempelajari, meningkatkan kesedaran serta membudayakan amalan kitar semula di dalam kehidupan harian mereka.

“Dengan pelbagai fasiliti serta kemudahan yang ada, FIKS akan dapat memainkan peranan utama dalam menggalakkan masyarakat Malaysia, terutamanya warga Putrajaya, mengamalkan kitar semula dan pengasingan sisa di punca selari dengan sasaran Dasar Kebersihan Negara,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast