Suspek berusia 37 tahun itu ditahan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya semalam selepas hadir memberi keterangan.

PUTRAJAYA – Seorang pegawai kanan jualan syarikat telekomunikasi direman lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes rasuah membabitkan sindiket penipuan SMS.

Perintah reman sehingga 23 November depan itu dikeluarkan oleh Majistret Shah Wira Abdul Halim di Mahkamah Majistret Putrajaya selepas pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat permohonan tersebut pagi tadi.

Ini menjadikan jumlah penahanan reman berkaitan kes ini adalah seramai 18 orang.

Menurut sumber, suspek berusia 37 tahun itu ditahan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya kira-kira pukul 7.30 malam semalam selepas hadir memberi keterangan.

Dalam pada itu, seorang bekas pegawai syarikat telekomunikasi dibebaskan dengan jaminan pada hari yang sama.

Difahamkan, mereka yang terlibat dipercayai telah memberi dan menerima wang rasuah untuk tujuan mendapatkan maklumat data peribadi pelanggan yang menggunakan pelan prabayar.

Tambah sumber, nombor telefon yang diperoleh akan digunakan oleh sindiket penipuan ‘content provider’ dengan mengenakan bayaran langganan menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) tanpa pengetahuan dan persetujuan daripada pengguna.

Kata sumber lagi, kes disiasat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009. – MalaysiaGazete

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast