Menteri Komunikasi dan Multi Media, Datuk Saifuddin Abdullah (tengah) bersama Presiden IRAMA, Ayob Abd Majid (kanan) pada perasmian Program KKMM Prihatin di Kuala Lumpur hari ini.

KUALA LUMPUR – Menyedari penggiat seni merupakan nadi kepada industri muzik membuatkan Konsortium IRAMA (IRAMA) telah menggerakkan usaha membuat kutipan derma demi membantu setengah daripada golongan itu yang memerlukan bantuan sejak penularan Covid-19.

Dengan tagline #ArtisBantuArtis, IRAMA telah bekerjasama dengan eWanaTV menerbitkan beberapa live dan rakaman persembahan artis-artis yang sudi berkerjasama memberi persembahan percuma demi membantu membuat kutipan.

Justeru itu, IRAMA berterimakasih kepada Kementerian Komunikasi dan Multi Media (KKMM) terutamanya menterinya, Datuk Saifuddin Abdullah yang telah melancarkan Program KKMM Prihatin di Putrajaya hari ini, kata Presiden IRAMA, Ayob Abd Majid.

Menurutnya, usaha itu jelas memperlihatkan kerajaan mengambil berat hal-hal penggiat seni muzik yang mengalami kebuntuan dalam meneruskan aktiviti persembahan dan rakaman dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Idea pengagihan kepada NGO yang terlibat dengan muzik ini adalah terbaik bagi mencapai pengagihan secara menyeluruh dan segenap kategori kegiatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain IRAMA, KKMM telah memilih empat lagi NGO yang berkaitan penggiat seni muzik bagi mengagihkan bantuan ini kepada ahli-ahli iaitu Persatuan Sahabat Penghibur Jalanan Malaysia yang diwakili oleh Pengerusinya iaitu Bob Sentuhan, Kelab Kami Kreatif yang diwakili oleh S. Saladdin Abdullah, Persatuan Pemuzik Jalanan Profesional yang diwakili oleh Mohd. Adzhar Mohd Yusof atau Zaha Spring dan Persatuan Muzika Malaysia yang diwakili oleh Puan Mac Rahayu.

Sasaran KKMM adalah untuk membantu 50 orang penggiat seni muzik yang mana setiap NGO akan mengagihkan kepada 10 orang ahli masing-masing.

Acara penyerahan itu telah dilakukan secara ‘pandu-lalu’ bagi mengikut SOP PKPBP di mana Saifuddin sendiri menyerahkan bantuan tersebut kepada wakil-wakil NGO terlibat.- MalaysiaGazette