KUALA LUMPUR – Dilema kelesuan dan kebosanan pengajaran dan pembelajaran (PdP) dalam talian (online) mendorong Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menggunakan pendekatan teknologi kamera robotik bagi menjadikannya menarik.
Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, pihaknya bertindak mengkaji pelbagai pedagogi dalam PdP menerusi tenaga pensyarah dengan menggunakan segala kreativiti dan kepakaran untuk mengatasi masalah kelesuan pembelajaran secara dalam talian.
Ia menjadi rungutan pelbagai pihak termasuk mahasiswa dan pelajar sekolah, katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohammad Shatar berkata, penularan Covid-19 memberi kesan kepada sistem pendidikan di universiti dan sekolah.
Justeru, katanya, UPSI berusaha merungkai masalah PdP yang membosankan secara dalam talian sebagai pendekatan baharu agar ia berlangsung secara lebih santai untuk mengelakkan tekanan dan masalah ketidakfahaman terhadap ilmu yang hendak disampaikan.
Beliau berkata, berbanding kaedah sedia iaitu pensyarah menyampaikan kulaih dalam talian dengan kedudukan secara statik, namun sistem kamera robotik menyaksikan pensyarah lebih bebas untuk bergerak 360 darjah secara santai dan penyampaian tidak begitu formal.
Menurut beliau, kaedah itu bertujuan menghilangkan kelesuan dan kebosanan pelajar yang berjam-jam menghadap skrin komputer secara maya dan semua pensyarah UPSI digalakkan menggunakannya.
“Kaedah PdP dapat mengelakkan rasa kaku dan membosankan pelajar yang mengikuti kuliah, malah ia lebih intraktif dan efektif di antara pelajar dan pensayarah itu sendiri,” katanya.
Menurutnya, menerusi kaedah berkenaan seolah-olah pelajar dan pensyarahnya berada di dalam kelas dan berinteraksi di antara satu sama lain dengan interaktif serta efektif serta menyeronokkan.
Beliau berkata, kamera robotik yang bergerak secara otomatik mengikut kedudukan pensyarah tidak memerlukan juru kamera yang mengendadalikan peralatan tersebut.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Dr Md Amin Md Taff berkata, UPSI akan menggerakkan tenaga pakar pedagoginya untuk menonjolkan idea-idea baharu sehingga menjadi rujukan masyarakat.
Pensyarah kanan di Fakulti Pembangunan
Manusia, Dr Mohd Hafiz Mohammad Hanif pula berkata, kaedah pedagogi itu memerlukan kreativiti dan lebih selesa untuk pensyarah berkomunikasi malah memberi impak yang sangat besar dan kesan yang sangat membersangkan kepada dalam kalangan pendidik sama ada di instutusi pengajian tinggi mahupun sekolah- sekolah di seluruh Malaysia.
“Dalam sitituasi permasalahan pandemik Covid-19 yang melanda negara sejak penghujung tahun lalu, pendekatan kamera robotik sesuai dipraktikan supaya pengajar dan pelajar tidak cepat bosan sewaktu PdP berlangsung,” katanya.- MalaysiaGazette