Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, Asisten Komisioner Muhammad Yazid Muhammad Yew ketika sidang media berkaitan perkembangan Covid-19 negeri Selangor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, Shah Alam. foto AFIQ HAMBALI, 20 NOVEMBER 2020.

SHAH ALAM – Majoriti daripada 72 kes laporan polis palsu yang direkodkan Polis Selangor sepanjang tahun ini ialah kes mereka yang mengelak daripada dikenakan denda bagi membayar proses membuat MyKad baharu.

Ini didedahkan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Selangor, Asisten Komisioner Muhammad Yazid Muhammad Yew, ia dikesan setelah polis menerima laporan dan membuat siasatan ke atas kes berkenaan.

Beliau berkata, kebanyakan daripada hasil siasatan yang dilakukan, kes yang dilaporkan individu terbabit tidak wujud dan perbuatan mereka telah menyusahkan anggota polis yang ketika ini sibuk bertugas menangani wabak Covid-19.

“Kebanyakan kes majoritinya MyKad hilang. Sebab itu mereka buat laporan polis palsu, seolah-olah mereka disamun dan dicuri, sebabnya nak elak dari membayar denda sekiranya MyKad hilang.

“Bagi kes yang disiasat dan didapati tidak wujud, kita menahan dan mendakwa individu berkenaan di mahkamah mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan.

“Jika disabitkan kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tempoh enam bulan atau denda boleh sampai RM2,000,” katanya pada sidang media mengenai Op Covid-19 di Ibupejabat Polis Kontinjen Selangor hari ini.

Muhammad Yazid menyatakan, pecahan bagi laporan polis palsu yang direkodkan itu melibatkan samun sebanyak 57 kes, kemalangan melibatkan 10 kes, kecurian tiga kes dan masing-masing satu bagi kes culik serta lain-lain kes.

Katanya, semua laporan yang diterima itu dibuka kertas siasatan tetapi setelah proses siasatan dijalankan, mendapati aduan yang dibuat tidak benar dan diklasifikasikan sebagai palsu.

“Kita minta orang ramai atau masyarakat tidak membuat laporan polis palsu kerana perbuatan anda akan menyukarkan penugasan dan perancangan pihak berkuasa dalam menangani isu Covid-19.

“Minta tolong jangan menyusahkan diri sendiri. Kami sekarang sedang menumpukan tugasan di fasa pemulihan Covid-19. Jika, ada laporan yang tidak wujud, ia akan menyusahkan anggota polis,” katanya. – MalaysiaGazette