TENTU sudah biasa kita dengar, “setiap penyakit ada ubatnya”. Lebih jelas lagi, setiap penyakit yang diturunkan Allah SWT pasti akan diturunkan penawar bersama dengannya.
Ia ditegaskan dalam hadis daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
“Allah tidak menurunkan sesuatu penyakit melainkan diturunkan bersamanya penawar.” [Riwayat al-Bukhari (5678)]
Dalam hadis yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
“Sesungguhnya Allah ketika menciptakan penyakit, diciptakan juga penawar. Maka berubatlah kamu.” [Riwayat Ahmad (12596) – Dinilai sahih lighairih oleh Syeikh Syu’aib al-Arna’outh]
Di samping itu juga, kita dituntut untuk berubat dengan perkara-perkara atau benda-benda yang halal melainkan ada keperluan dalam hal tersebut.
Tidak terkecuali dalam situasi yang sedang melanda negara dan dunia ketika ini iaitu pandemik Covid-19, pakar-pakar perubatan dalam bidang berkaitan sentiasa berusaha mencari penawar untuk virus yang cepat menular hingga telah mengorbankan banyak nyawa ini.
Hakikatnya, vaksin untuk mencegah Covid-19 mungkin merupakan harapan terbaik masyarakat dunia untuk menghentikan penularan wabak ini.
Namun, pada masa ini tidak ada vaksin yang sesuai untuk mencegah jangkitan virus ini, tetapi para penyelidik berusaha secara berterusan untuk menghasilkan vaksin yang sesuai.
Perlu kita ketahui, corona adalah sekumpulan virus yang menyebabkan penyakit seperti selesema biasa, sindrom pernafasan akut teruk (SARS), dan sindrom pernafasan Timur Tengah (MERS).
Virus ini juga yang menyebabkan Covid-19 berkait rapat dengan virus yang menyebabkan SARS. Atas sebab itu, saintis juga telah menamakan virus baru ini sebagai SARS-CoV-2.
Tentunya untuk menghasilkan vaksin biasanya memakan masa bertahun-tahun dan para penyelidik belum mula menyebarkan vaksin Covid-19 ini.
Akan tetapi, penyelidikan sebelumnya iaitu mengenai vaksin SARS dan MERS telah membantu mengenal pasti kaedah pembangunan vaksin yang boleh diharapkan.
Dalam penyelidikan sebelumnya termasuk vaksin coronavirus telah menunjukkan terdapat beberapa cabaran yang dihadapi para saintis ketika mereka berusaha menghasilkan vaksin untuk Covid-19 terutamanya dalam memastikan keselamatan vaksin.
Para saintis telah menguji vaksin SARS pada haiwan. Sebilangan besar vaksin meningkatkan kadar kelangsungan hidup pada haiwan yang diuji, namun ia tidak mencegah jangkitan.
Beberapa vaksin juga menyebabkan terjadinya komplikasi seperti kerosakan paru-paru. Oleh yang demikian, sebarang vaksin Covid-19 mesti diuji dengan sangat teliti dan berhati-hati untuk memastikan ia selamat untuk manusia.
Dalam pada itu, saintis dan pakar perubatan di beberapa negara telah berusaha dengan gigihnya untuk menghasilkan vaksin yang sesuai untuk Covid-19 ini.
Baru-baru ini pada 16 November, bbc.com melaporkan bahawa vaksin Covid-19 yang dibangunkan oleh syarikat bioteknologi Amerika Syarikat (AS), Moderna didakwa berkesan 94.5 peratus mencegah jangkitan virus tersebut berdasarkan data awal daripada ujian klinikal fasa akhir.
Vaksin ini boleh disimpan dalam suhu peti sejuk biasa, menjadikannya lebih mudah untuk diedar di seluruh dunia. Pengumuman itu dibuat sejurus selepas pengumuman serupa yang dikeluarkan oleh syarikat biofarmaseutikal global iaitu Pfizer.
Pengumuman ini memperkuat keyakinan bahawa vaksin baru dapat menyumbang untuk mengakhiri wabak yang melanda dunia yang mana kedua-dua syarikat ini menggunakan kaedah baru yang inovatif dan eksperimental untuk mengembangkan vaksin tersebut.
Presiden Moderna, Stephen Hoge berkata, “Hari ini adalah hari yang dinanti-nantikan,” dan beliau juga berhasrat memohon lesen untuk vaksin barunya dalam beberapa minggu akan datang.
Dalam pada itu, sekitar 30,000 sukarelawan di Amerika Syarikat mengambil bahagian dalam program ujian vaksin Moderna ini. Sebahagian daripada mereka menerima dua dos vaksin dalam tempoh empat minggu manakala sebahagian lagi sukarelawan diberi bahan tidak aktif.
Analisis keputusan ujian dibuat berdasarkan 95 sukarelawan pertama yang mempunyai simptom penyakit Covid-19. Gejala-gejala ini tidak muncul pada lima orang yang menerima vaksin, tetapi muncul pada 90 orang yang disuntik bahan tidak aktif.
Syarikat itu mengatakan bahawa kadar perlindungan yang diberikan oleh vaksin adalah 94.5 peratus. Namun berdasarkan kajian itu, mereka belum dapat memastikan sama ada vaksin baru dapat mencegah penyebaran virus atau hanya melindungi mereka yang menggunakannya daripada mendapat penyakit tersebut.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), terdapat lebih 150 vaksin coronavirus yang sedang dikembangkan di seluruh dunia dan harapannya tinggi agar salah satu daripada itu akan dipasarkan dalam waktu terdekat untuk meredakan krisis pandemik global.
Di samping itu, beberapa usaha giat dilakukan untuk membantu merealisasikannya kerana WHO sedang mengkoordinasikan usaha untuk mengembangkan vaksi dengan fokus untuk memberikan dua mililiter dos pada akhir tahun 2021.
Vaksin akan melalui proses percubaan klinikal sebanyak tiga peringkat sebelum dihantar ke badan pengawal seliaan bagi mendapatkan persetujuan, yang boleh menjadi proses yang panjang.
Menurut laporan terbaru WHO yang dikeluarkan pada 3 November lalu, selain vaksin Moderna, Pfizer-Biontec dan Sputnik-V, terdapat beberapa vaksin anti-corona lain yang telah mencapai tahap ketiga dan menunjukkan hasil yang memuaskan.
Seterusnya, mari kita ketahui beberapa nama vaksin corona lain yang sedang diusahakan sebagai penawar untuk menangani pandemik yang melanda dunia ini.
Oxford
Vaksin Oxford yang disebut ChAdOx1 nCoV-19 dihasilkan oleh Universiti Oxford di United Kingdom yang bekerjasama dengan syarikat AstraZeneca, adalah salah satu vaksin yang diharapkan.
Hasil awal daripada dua fasa pertama ujian klinikal menunjukkan bahawa vaksin menimbulkan tindak balas imun yang kuat termasuk peningkatan tindak balas antibodi dan sel-T dengan kesan sampingan kecil seperti keletihan dan sakit kepala.
Vaksin ini masih dalam fasa ketiga ujian klinikal yang bertujuan untuk menguji kira-kira 50,000 sukarelawan di Brazil, United Kingdom, Amerika Syarikat dan Afrika Selatan.
Pada 8 September, AstraZeneca menangguhkan kajian tersebut untuk tinjauan keselamatan kerana reaksi negatif di Britain dan perinciannya masih tidak jelas walaupun syarikat itu menggambarkan penangguhan sementara itu sebagai biasa.
Setelah siasatan oleh penganjur selesai, kajian diteruskan di United Kingdom, Brazil, Afrika Selatan dan India pada bulan September dan juga Amerika Syarikat sebulan kemudian.
Sinopharm
Sementara itu, vaksin Sinopharm yang sedang dikembangkan oleh syarikat milik negara China Sinopharma bekerjasama dengan Institut Produk Biologi Wuhan mencapai hasil sebagaimana yang dirancang.
Media China melaporkan bahawa vaksin tersebut telah menunjukkan keberkesanannya. Menurut presiden syarikat itu, seramai 56,000 orang penerima vaksin tidak menunjukkan reaksi negatif selain tidak menghidap virus itu walaupun melakukan perjalanan ke luar negara.
Pada 29 September, New Yorker melaporkan bahawa beratus-ratus ribu orang awam China telah divaksinasi di bawah kelulusan kerajaan untuk penggunaan kecemasan.
China mula menyuntik kakitangan perubatan dan kumpulan berisiko tinggi lain dengan vaksin Sinopharma secara eksperimental pada bulan Julai, menjadikannya vaksin eksperimen pertama yang tersedia untuk orang awam selain sukarelawan klinikal.
Vaksin ini mendekati akhir fasa percubaan ketiga di negara Mesir, UAE, Jordan, Bahrain dan Maghribi.
Coronavac
Sejak awal bulan Julai, syarikat farmaseutikal China Sinovac Biotec juga bekerjasama dengan Institut Bioperubatan Butantan di Brazil untuk mengembangkan vaksin Coronavac.
Walaupun vaksin mencapai hasil yang diharapkan pada tahap akhir pengujiannya, namun, ketika China menggunakannya untuk mengimunisasi ribuan warganya dalam keadaan kecemasan, kematian seorang sukarelawan minggu lalu mendorong pihak berkuasa Brazil untuk menghentikan sementara kajian ini sebelum meneruskannya seminggu kemudian.
Pengarah Institut Bioperubatan Butantan, Dimas Covas menyelar bahawa kematian itu tidak berkaitan langsung dengan percubaan vaksin itu sendiri. Dalam satu kenyataan, beliau menyatakan bahawa ia yakin akan keselamatan vaksin ini.
Syarikat tersebut meneruskan percubaan fasa ketiga yang melibatkan 130,000 sukarelawan di Indonesia, Turki dan Bangladesh.
Novavax
Di Maryland, Amerika Syarikat, syarikat bioteknologi Novavax hampir menghasilkan vaksin antivirus yang merangkumi dua dos setiap 21 hari.
Pada 2 September lalu, satu kajian yang dilakukan pada fasa pertama percubaan syarikat itu yang diterbitkan dalam New England Journal of Medicine mendapati bahawa vaksin ini selamat dan menghasilkan antibodi terhadap virus pada tahap lebih tinggi daripada yang ada pada mereka yang telah pulih daripada penyakit ini dan ia merangsang Sel -T.
Manakala pada 24 September, syarikat itu mengumumkan pelancaran fasa ketiga percubaannya di United Kingdom dengan menguji vaksin kepada 10,000 orang, sama ada mereka mempunyai penyakit lain atau tidak.
Johnson & Johnson
Johnson & Johnson, salah satu syarikat multinasional terbesar di dunia yang berpusat di New Jersey sedang mengembangkan vaksin terhadap virus berdasarkan teknologi yang sebelumnya digunakan oleh syarikat tersebut dalam mengembangkan vaksin terhadap Ebola, selain vaksin untuk Zika dan HIV.
Satu kajian yang diterbitkan dalam Nature of Science pada Julai lalu menunjukkan bahawa vaksin itu meneutralkan antibodi pada monyet, memberikan perlindungan lengkap atau hampir lengkap dengan hanya satu dos.
Pada 23 September, syarikat itu mengumumkan pelancaran fasa ketiga percubaan untuk menilai keselamatan dan keberkesanan vaksin ke atas 60,000 orang dewasa dari pelbagai negara dan kumpulan usia termasuk orang tua dan mereka yang lebih terdedah terhadap jangkitan dengan Covid-19.
Pada 12 Oktober, syarikat itu mengumumkan bahawa pihaknya menangguhkan sementara percubaan untuk melakukan tinjauan keselamatan bebas kerana penyakit yang tidak dapat dijelaskan pada salah seorang peserta. Syarikat itu tidak memberikan pendedahan untuk melindungi privasi pesakit tersebut.
Memakan masa yang lama
Dengan ini, dapat kita lihat bahawa kebanyakan kajian vaksin Covid-19 telah memasuki peringkat akhir di beberapa negara seperti Rusia dan Jerman. Jelaslah bahawa untuk mendapat keputusan kajian yang relevan, ia memakan masa yang lama berdasarkan kajian demi kajian.
Sejak pandemik ini terjadi, beberapa ujian telah dilakukan terhadap puluhan ubat dan vaksin, antaranya mungkin boleh menjadi ubat yang diperlukan untuk mematikan virus.
Wabak yang berleluasa di seluruh negara pada tahun ini telah menjangkiti berjuta-juta orang hingga mengakibatkan kematian lebih sejuta orang pada bulan lalu.
Moga usaha-usaha yang dilakukan banyak pihak untuk menghentikan virus ini daripada terus menular dipermudahkan Allah SWT. Di samping itu, kita sebagai hamba-Nya teruskan doa agar dikurniakan kesihatan yang baik dan terhindar daripada virus ini serta penyakit ini segera diangkat-Nya.
Tetaplah terus mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP), memakai pelitup muka, sentiasa mencuci tangan, menjaga penjarakan fizikal dan duduk di rumah. Moga Allah sentiasa menjaga kita, insya-Allah.