Gambar hiasan

NEW YORK – Warga Amerika Syarikat (AS) yang pertama akan menerima vaksin Covid-19 seawal-awalnya 11 Disember ini.

Ketua Program Vaksin AS, Dr Moncef Slaoui berkata, pihaknya akan menghantar vaksin-vaksin ke lokasi imunisasi dalam tempoh 24 jam sebaik sahaja ia diluluskan.

AS kini berdepan dengan cabaran getir apabila sudah merekodkan lebih 12 juta kes dengan 255,000 kes kematian, menurut data yang dikumpulkan oleh John Hopkins University.

Jumlah kes jangkitan Covid-19 juga meningkat di seluruh dunia.

Syarikat farmaseutikal, Pfizer dan rakannya BioNTech mengemukakan permohonan pada hari Jumaat untuk kebenaran penggunaan kecemasan vaksin Covid-19 di AS.

Vaksin yang dibangunkan Pfizer yang memerlukan dua dos, telah menunjukkan 95% keberkesanannya.

Pfizer berharap dapat menghasilkan hingga 50 juta dos pada akhir tahun ini.

Jawatankuasa Penasihat Vaksin Pentadbiran Makanan dan Dadah (FDA) akan bertemu pada 10 Disember untuk membincangkan sama ada akan membenarkan penggunaan vaksin tersebut.

Dr Slaoui memberitahu, vaksin berkenaan boleh dilancarkan “mungkin pada hari kedua setelah mendapat persetujuan”.

Vaksin tersebut akan diedarkan berdasarkan populasi setiap negeri.

Dr Slaoui menambah, setiap negara akan bertanggungjawab untuk memutuskan siapa yang mendapat vaksin terlebih dahulu, dengan cadangan agar keutamaan diberikan kepada mereka yang paling berisiko, seperti pekerja kesihatan dan orang tua.

Syarikat farmaseutikal Moderna juga mendakwa vaksinnya hampir 95% berkesan, menurut data ujian.

Moderna dalam kenyataannya berharap dapat persetujuan untuk vaksin dalam beberapa minggu mendatang.

Dr Slaoui berkata, dengan tahap keberkesanan yang ditunjukkan dalam vaksin, AS percaya dapat mengawal jangkitan pada bulan Mei, dengan 70% penduduk mendapat vaksin. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast