Tan Cheng Hoe. foto AFFAN FAUZI, 19 NOVEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Ketua jurulatih pasukan kebangsaan Tan Cheng Hoe kekal sebagai pengendali skuad Harimau Malaya dalam menjayakan misi Malaysia meraih slot automatik ke pusingan akhir Piala Asia 2023.

Cheng Hoe mengesahkan perkembangan itu selepas dimaklumkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengenai lanjutan kontrak selama dua tahun, susulan kontraknya yang akan tamat pada 31 Disember ini.

Difahamkan perbincangan mengenai lanjutan kontrak itu berlangsung sejak beberapa bulan lepas, sebelum FAM memuktamadkan keputusan itu berdasarkan perubahan positif dibawa Cheng Hoe dalam pasukan, termasuk memberi nafas baharu dalam corak permainan skuad negara.

“FAM sudah setuju untuk menyambung kontrak bagi tempoh dua tahun lagi. Saya menganggap ini sebagai satu cabaran untuk saya dalam membawa pasukan kebangsaan, ke satu tahap lebih baik,” katanya kepada Bernama di sini semalam.

Bekas pengendali pasukan Kedah itu yang kini berada di Pulau Pinang berkata, beliau telah menerima surat tawaran lanjutan kontrak itu dan akan berjumpa barisan kepimpinan tertinggi FAM, sebaik pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilonggarkan.

Sementara itu, Setiausaha Agung FAM Stuart Ramalingam berkata walaupun 2020 menjadi tahun yang membantutkan perkembangan prestasi positif pasukan kebangsaan, tetapi FAM masih mempunyai rancangan lebih besar dan Cheng Hoe merupakan individu terpenting dalam menjayakan usaha tersebut.

Stuart berkata FAM yakin keputusan itu akan memberi kesinambungan kepada pasukan, untuk mengharungi baki beberapa perlawanan kelayakan Piala Dunia dan Piala Asia pada tahun depan dan 2022.

“Kami gembira TCH (Cheng Hoe) bersetuju untuk menyambung khidmatnya dan sekarang kami dapat memberi fokus pada beberapa perlawanan penting selepas ini. Banyak rintangan dihadapi tahun ini dan berharap situasi tidak dikehendaki itu (COVID-19) segera berakhir dan seterusnya mengembalikan semangat pasukan tahun depan,” katanya. – BERNAMA