KUALA LUMPUR – Gagal meluahkan apa terbuku di hati menyebabkan seseorang individu itu mengalami tekanan atau stres yang boleh memberi kesan negatif di dalam diri.
Walaupun isu ini dianggap terpencil, sebagai insan, kita sebenarna berhak menikmati persekitaran kehidupan dengan lebih ceria dan sempurna.
Namun tekanan berlaku apabila reaksi tubuh, pemikiran, emosi dan tingkah laku disebabkan perubahan persekitaran membuatkan individu bertindak mengikut naluri.
Kegagalan mengawal aspek ini akhirnya menentukan ke mana hala tekanan itu dilepaskan. Lumrah kehidupan tidak dapat lari daripada tekanan, berpunca melalui pelbagai faktor dan lebih parah ia memberi kesan kepada kesihatan mental.
Buruk akibatnya jika seseorang gagal mengawal tekanan, emosi dan perasaan sama ada ketika berdepan dalam situasi atau persekitaran tertentu seperti di rumah, jalan raya, tempat kerja serta lokasi tumpuan awam.
Menyedari masalah itu, aplikasi telefon pintar yang dikenali PlusVibes kini sedia mendengar luahan hati pengguna tanpa mendedahkan identiti mereka.
Aplikasi yang dihasilkan oleh usahawan bernama Madiha Fuad ini mula diperkenalkan sejak Julai lalu dan apa yang menarik, pengguna yang telah melayarinya telah mencecah 4,000 orang.
Madiha, 30, memberitahu, idea menghasilkan PlusVibes tercetus awal tahun ini ketika dia sibuk menyiapkan Doktor Falsafah (PhD) PhD sehingga berdepan masalah saraf di bahu berikutan duduk terlalu lama di hadapan komputer.
“Apabila keadaan saya semakin kritikal, saya mula mendapatkan rawatan apabila tidak boleh lagi mengangkat tangan. Berbulan saya tidak boleh buat apa-apa kerja dan masih lagi menjalani rawatan fisioterapi sehingga hari ini.
“Gara-gara itu saya menjadi tertekan kerana saya seorang yang tidak suka luahkan masalah kepada orang lain dan mula mencari artikel berkaitan dengan masalah yang saya hadapi,” katanya bekerjasama dengan rakannya yang juga pakar web untuk menubuhkan aplikasi itu.
Madiha yang pernah menjadi wartawan dan pensyarah berharap PlusVibes dapat membantu masyarakat meluahkan masalah yang dihadapi tanpa malu bagi meredakan tekanan mereka.
Jelas anak ketiga daripada lima beradik ini, lapan kategori dalam aplikasi itu turut memberi pilihan masalah yang ditanggung pengguna sebelum keputusan antara satu hingga 10 diperolehi dengan menyediakan artikel bersesuaian sebagai bahan bacaan.
“Aplikasi ini mungki tidak dapat merawat masalah yang ditanggung pengguna namun sekurang-kurang dapat meluahkan perasaan yang terbuka selain dapat membaca artikel yang mampu memberi tips penyelesaian kepada masalah mereka,” katanya pemilik Sarjana Muda Komunikasi Massa dari Universiti Teknologi Mara ini.
Madiha yang juga memiliki Ijazah Sarjana dalam bidang Pentadbiran Perniagaan (MBA) di Universiti Taylor’s berkata, ketika ini, seramai 60 peratus pengguna PlusVibes adalah golongan remaja di antara usia 13 hingga 17 tahun.
Jelas beliau yang mampu bercakap dalam lima bahasa, seramai 30 kaunselor sukarelawan sedia mendengar masalah pengguna dan pernah hingga 200 permintaan diterima pada satu masa yang ingin berbual secara langsung.
“Kami berharap dapat berkolaborasi dengan pelbagai kementerian dan syarikat korporat dalam usaha menambah dana untuk membayar elaun kepada kaunselor.
“Ketika ini, PlusVibes hanya beroperasi sebagai pertubuhan bukan kerajaan yang bergantung dengan sumbangan orang.
“Namun kami bersyukur, kemunculan PlusVibes mula mendapat perhatian pelbagai agensi kerajaan, persatuan dan NGO lain yang berkaitan dengan masalah seperti kewangan,” katanya.
Mengenali Madiha, tiada siapa menyangka ketika kecil wanita ini dianggap sebagai seorang ‘slow learner’ sehingga mengganggu pembelajarannya di sekolah.
Namun hari, dia terus melebarkan sayap dalam dunia perniagaan bersama beberapa rakan kongsi yang memiliki kepakaran dalam bidang masing-masing apabila menubuhkan lima syarikat termasuk berkaitan makanan dan minuman, fesyen, hiasan dalaman dan perisian.
Ketika ini di berada di semester akhir selepas ditawarkan biasiswa oleh Universiti Taylor’s untuk membuat PhD yang bertajuk agaimana membentuk kemahiran mahasiswa dalam berdepan Revolusi Industri 4.0. – MalaysiaGazette