PERKEMBANGAN sains dan teknologi memberi impak yang signifikan dalam aspek peranan dan sumbangannya kepada kehidupan manusia. Anjakan revolusi yang berlaku selama berabad ini memberi sumbangan dalam kemajuan dan mencatat pencapaiannya tersendiri. Hal ini kerana, seluruh dunia telah merasai transisi teknologi yang bermula dari Revolusi Perindustrian Pertama (1760-1830) di mana tenaga manusia dan haiwan digantikan oleh kemunculan mesin melalui teknologi air atau wap. Perkembangan seterusnya melibatkan penggunaan kuasa elektrik yang mencetuskan Revolusi Perindustrian Kedua (1870-1914).
Kemudian, revolusi industri ini berganjak kepada teknologi digital dan internet yang dikenali sebagai Revolusi Perindustrian 3.0 dan kini dunia sudah mula memasuki fasa Revolusi Perindustrian 4.0. Transformasi ini tidak dapat dielakkan dan pastinya memberi kesan terhadap pelbagai aspek kehidupan manusia termasuklah aspek pendidikan tinggi. Graduan universiti terutamanya perlu bersedia dalam menyesuaikan diri untuk menghadapi cabaran baru IR 4.0 ini supaya terus kekal relevan dalam pasaran kerana skop pekerjaan dalam IR 4.0 dilihat lebih memerlukan sumber manusia yang berkemahiran tinggi dan berdaya saing dalam pelbagai aspek.
Universiti komited dalam melahirkan mahasiswa yang mampu berdaya saing dalam pasaran global. Revolusi industri 4.0 (IR 4.0) menggariskan inovasi sebagai elemen utama bagi melahirkan mahasiswa yang kompetitif dan berdaya saing dalam pasaran pekerjaan global namun begitu elemen kemanusiaan harus menjadi tonggak yang berperanan sebagai jati diri graduan. Oleh yang demikian, percaturan semula aktiviti pengajaran dan pembelajaran bagi melahirkan insan yang mencapai keseimbangan holistik perlu dilakukan.
Selain hasrat melahirkan graduan kelas pertama untuk pasaran pekerjaan, kemahiran insaniah sering menjadi elemen dasar asas pembinaan yang diatur sejak dialam sekolah hingga peringkat tertinggi pengajian di universiti. Ironinya, melalui sinergi peranan kurikulum dan kokurikulum amat penting bagi melahirkan insan yang mempunyai keseimbangan yang sempurna, berkepimpinan, berketerampilan dan berdaya saing. Graduan pada hari ini juga harus bersedia menerima perubahan dan cabaran baru sebagai keutamaan dalam memajukan diri.
Menurut Laporan Forum Ekonomi Dunia bertajuk The Future of Jobs: Employment, Skill and Workforce Strategy for the Fourth Industrial Revolution mendedahkan bahawa keupayaan kognitif merupakan antara ciri penting yang perlu dimiliki oleh tenaga kerja pada masa kini. Keupayaan kognitif adalah merujuk kepada kemampuan seseorang yang berkaitan dengan tahap berfikir, kreativiti, dan kemampuan menyelesaikan masalah secara kompleks yang merupakan elemen teras dalam kemahiran insaniah. Sekiranya dianalisis dengan lebih terperinci lagi, 10 keperluan kerjaya masa hadapan, kesemuanya boleh dikatakan berkait rapat dengan kemahiran insaniah seperti pengurusan sumber manusia, kerjasama dalam kumpulan, kecerdasan emosi, kemahiran membuat pertimbangan dan keputusan, perundingan, orientasi perkhidmatan dan pemikiran fleksibel. Kemahiran insaniah yang antap mampu menjadi nilai tambah dalam diri seseorang graduan dan ianya amat penting dalam menentukan kebolehpasaran dalam pekerjaan.
Namun, dalam keghairahan merangka perancangan pembangunan pendidikan negara, Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) tidak harus dilupakan. FPK dengan jelas meletakkan acuan pendidikan di Malaysia sebagai usaha untuk membangunkan potensi individu secara holistik, bersepadu, seimbang dan harmonis berdasarkan nilai kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Oleh itu nilai kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan merupakan elemen asas dalam pembangunan aspek kerohanian atau kecerdasan spiritual pelajar. Oleh yang demikian, dalam usaha membangunkan potensi kecerdasan intelektual, fizikal dan emosi, kecerdasan spiritual berteraskan matlamat untuk menyemai nilai kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan perlu dijadikan matlamat utama dalam proses pendidikan. Nilai inilah yang menjadi asas kawalan dalaman dan kestabilan emosi insan.
Nilai kesedaran hubungan diri dengan Tuhan juga merupakan asas utama dalam membangunkan kesedaran diri dan perasaan saling memerlukan sesama insan dan makhluk sejagat. Kesedaran ini akan melahirkan sifat kepimpinan yang tinggi di mana individu itu akan bertanggungjawab dalam menjaga dan mengurus keharmonian hubungan sosial sesama manusia dan juga alam sekitar sesuai dengan maqasid pemeliharaan alam menurut syariah. Justeru, boleh dikatakan intipati inilah yang menjadi formula proses pendidikan negara dalam usaha melahirkan insan yang seimbang dan holistik. Kesedaran dan sifat bertanggungjawab dalam hubungan sosial dan menjaga alam sekitar juga penting dalam membangunkan kemahiran insaniah.
Di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), bagi membangunkan kemahiran insaniah para siswanya, penekanan diberikan kepada konsep-konsep berikut: konsep integrasi ilmu-ilmu naqli dan aqli, konsep integrasi antara ilmu dan amal, serta keseimbangan antara aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek. USIM meletakkan misi menghasilkan ilmuwan, pemimpin dan profesional yang kompeten berasaskan keilmuan Islam, nilai-nilai luhur agama dan budaya demi kesejahteraan sejagat. Dalam mencapai misi yang luhur ini, USIM meletakkan teras utama pembentukan generasi cemerlang masyarakat berilmu adalah melalui paduan antara ilmu Naqli dan aqli serta budi pekerti yang mulia.
Pusat Pembangunan Kemahiran Insaniah (PPKI) USIM telah dipertanggungjawabkan untuk menjadi peneraju dalam pelaksanaan Kursus Kokurikulum Berkredit (KKB) ke arah melahirkan graduan yang holistik serta memiliki Kemahiran Insaniah (KI) yang tinggi. Penawaran kursus-kursus ko-kurikulum bagi program-program Sarjana Muda dengan Kepujian adalah sebagai sebahagian daripada usaha membentuk siswa dan siswi yang seimbang mental, fizikal, emosi dan intelek. Kursus-kursus yang ditawarkan oleh pusat ini akan melahirkan graduan yang menepati ciri-ciri graduan yang berkemahiran tinggi dan mampu berdepan dengan cabaran global alam pekerjaan.
Hal ini juga telah ditekankan oleh Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Datuk Abdul Halim Mansor. Universiti sepatutnya meletakkan aspek praktikal lebih daripada teori semata-mata, di mana semua universiti di Malaysia didapati masih mempraktikkan 60% teori dan 40% praktikal menurut beliau. Sekiranya pelajar diberi peluang yang lebih lama untuk menimba pengalaman dalam gerak-kerja secara praktikal dan lapangan, ini akan memberi pendedahan awal kepada mereka dalam usaha mempraktikkan kemahiran insaniah sebagai persediaan menempuh cabaran dunia pekerjaan yang sebenar.
Oleh: Dr. Abdul Rashid Abdul Aziz @Dorashid dan
Dr. Wan Mohd Fazrul Azdi Wan Razali
Pensyarah Kanan Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan,
Universiti Sains Islam Malaysia