Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib

KUALA LUMPUR – Seorang penyanyi yang juga merupakan penceramah agama bebas telah ditangkap polis malam tadi atas dakwaan disyaki merogol seorang wanita yang juga kenalannya dalam media sosial di Shah Alam pada tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, saspek berusia 25 tahun itu ditahan sekitar 11 malam tadi selepas hadir ke Ibupejabat Polis Daerah Shah Alam untuk memberi keterangan ekoran laporan polis daripada mangsa rogol pada Rabu lalu.

Katanya saspek didakwa melakukan perbuatan jijik itu di Studio I-Soho, Seksyen 7, Shah Alam dalam kejadian pada 11 September tahun lalu.

“Dalam kejadian sekitar jam 8 malam itu mangsa perempuan berusia 23 tahun telah keluar dengan saspek yang baru dikenali di laman sosial Instagram dengan menaiki kereta milik saspek jenis BMW untuk membuat perbincangan berkenaan masalah kemurungan yang dihadapi dengan kaedah perubatan Islam.

“Suspek telah membawa mangsa makan di kedai makan di kawasan Batu 3, Shah Alam dan selepas makan, mangsa telah dibawa ke rumah saspek di Seksyen 7 dengan alasan untuk memberikan penerangan bagaimana boleh keluar dari penyakit kemurungan.

“Mangsa telah dirogol oleh saspek dan mangsa tidak terdaya hendak melawan serta tidak tahu cara mahu keluar dari tempat tersebut,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Pada keesokan hari, selepas kejadian iaitu 12 September 2019 lalu sekitar jam 6.40 pagi, saspek telah didakwa memberikan amaran kepada mangsa supaya merahsiakan apa yang berlaku dan memberi amaran yang mangsa sentiasa dipantau setiap masa.

Menurut beliau, saspek terus menghantar mangsa ke bawah lobi apartment dan mangsa menaiki Grab untuk pulang ke rumah sewa mangsa di Subang Jaya.

Bagaimanapun pada 23 September 2019 mangsa telah dimasukkan ke Hospital Kajang kerana mengalami tekanan perasaan serta dirujuk ke rawatan psikiatri.

“Pada Oktober 2019, mangsa telah balik ke rumah keluarga di Triang, Pahang serta telah mendapat rawatan semula di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah Temerloh dan ditahan di wad psikiatri selama lima hari.

“Pihak Hospital Temerloh telah mengatakan mangsa telah mengalami tekanan perasaan yang teruk serta trauma akibat dari kejadian tersebut dan sehingga laporan polis ini dibuat, mangsa masih menerima rawatan susulan di hospital yang sama.

Kes disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan dan saspek yang ditahan di lokap IPD Shah Alam akan direman pagi ini untuk membantu siasatan lanjut.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

4 Komen

  1. Siasat betul2. Sbb mangsa pun ada masalah kemurungan. Kalau beliau bersalah, pasti ada bukti nyata dan tak terlepas. Kami doakan semua akan selesai dgn adil.

  2. Mungkin NIAT baik ingin memberi konsultasi one to one berkenaan masalah kemurungan berakhir dengan TRAGEDY diNODAI?

    Apa2 pun untuk dapatkan cerita sebenar tunggu siasatan polis!

  3. Pejabat agama tak buat kerja sebab tak kena tangkap basah khalwat pun. Kerja lepak ke atau kerja sambil lewa? Walau apa pun gaji terus jalan tak kena potong pun, kan?

Comments are closed.