Ahmad Jazlan Yaakub

KUALA LUMPUR – Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MOPB) menjelaskan cadangan penguatkuasaan Perintah Ses iaitu cukai khas untuk para peserta industri sebanyak RM5 bagi tahun ini masih peringkat kajian dan perbincangan.

Pengerusinya, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, Ses menjadi isu kerana ada para peserta yang membuat rayuan supaya kadar yang dikenakan dipertimbangkan semula.

Arahah Ses 2020 MPOB yang baharu menetapkan pembayaran tambahan sebanyak RM5 bagi setiap tan minyak sawit mentah (MSM) dan minyak isirung sawit mentah (CPKO) yang dihasilkan.

Harga itu melebihi jumlah keseluruhan semasa sebanyak RM14 satu tan MSM yang dihasilkan.

Menurut beliau, kutipan Ses  bukan untuk simpanan MPOB atau bagi menampung kos pengurusan MPOB.

Kutipan dicadangkan dikuatkuasakan pada 1 Januari 2021.

Ini kerana, hasil kutipan yang sama juga akan diagihkan kepada Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC), entiti berasingan yang menjalankan kempen-kempen sawit dalam usaha menangani anti-sawit.

“Sebenarnya, kutipan ini pun dibuat pada masa yang sesuai ketika harga minyak sawit naik. Contohnya ketika paras harga sawit tertinggi dalam tempoh lapan tahun. Hari ini, sawit berada dalam tempoh tertinggi.

“Bermakna kita kutip secara one-off. Kutipan ini kita pulangkan balik kepada peserta-peserta industri menerusi aktiviti dan program yang dijalankan.

“Cuma ada pihak berasa dia akan terima kurang, terima lebih. Ini biasa. Kadang-kadang orang terima lebih tak cakap, bila kurang, dia merungut,” tambahnya.

Mengulas mengenai rayuan yang dikemukakan oleh persatuan-persatuan estet, Ahmad Jazlan menjelaskan, kutipan itu semata-mata untuk tujuan kelestarian sawit bagi memastikan industri terus mampan dan berdaya saing untuk masa depan.

Oleh itu, sudah tentu MPOB memerlukan perbelanjaan untuk menjayakan aktiviti-aktiviti tersebut.

Memandangkan tujuannya untuk industri berkenaan, adalah tidak sesuai untuk menggunakan wang kerajaan, tambahan pula negara sedang berdepan dengan pandemik Covid-19, rakyat miskin dan bersiap-sedia menghadapi musim tengkujuh.

“Biarlah kerajaan menggunakan dana yang ada untuk tujuan lebih penting.

“Sebab itu, kami berpendapat kalau perbelanjawan ini diambil dari industri sendiri, ia lebih adil. Lagipun harga sekarang lebih RM3,000. Kalau bawah RM3,000, kita tidak ambil.

“Tetapi baru-baru ini harga sawit berada pada RM3,518 se tan untuk beberapa hari, hari ini hampir RM3,500.

“Kalau ada pandangan lain dari pihak-pihak berkepentingan, kita boleh pertimbangkan. Ini bukan keputusan muktamad,” ujarnya. – MalaysiaGazette