KUALA LUMPUR – Pertumbuhan import minyak sawit mentah (MSM) dari India dijangka dua digit pada tahun depan selepas negara itu menurunkan levi sebanyak 10 peratus baru-baru ini.
Penurunan levi itu juga akan terus menyokong harga minyak sawit negara pada tahun 2021.
Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, prestasi eksport minyak sawit Malaysia ke India dalam tempoh Januari hingga Oktober tahun ini berjumlah 1.97 tan dengan nilai RM5.15 bilion.
Prestasi eksport minyak sawit ke India terjejas akibat penularan wabak Covid-19, kesan pelaksanaan perintah berkurung yang memberi kesan kepada sektor perhotelan, restorn dan perniagaan makanan yang merupakan pengguna utama minyak sawit di negara itu.
Permintaan dari India mulai pulih selepas negara ini mula menambah stok pada bulan Jun lalu, kesan daripada kelonggaran Perintah Berkurung, selain membuat persediaan bekalan untuk menyambut perayaan Deepavali pada bulan ini.
“India diunjur akan terus mengimport MSM dari Malaysia pada tahun depan, didorong oleh pengurangan duti kastam ke atas komoditi ini, yang menjadi faktor penarik kepada pengimport di India,” katanya pada sidang media di ibu pejabat MPOB di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai penurunan duti import ke atas MSM daripada 37.5 peratus kepada 27.5 peratus berkuatkuasa 27 November 2020.
Ahmad Jazlan yang menyambut baik langkah kerajaan itu turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein kerana bersama-sama membantu memperkukuhkan industri sawit negara.
Tambah beliau lagi, keputusan India itu juga mencerminkan keyakinan negara berkenaan terhadap Malaysia dan kepimpinan negara ini.
ARTIKEL BERKAITAN: India kurangkan duti import sawit – Hishammuddin
Selain India, eksport minyak sawit Malaysia ke China dalam tempoh 10 bulan pertama turut bertambah sebanyak 20.4% kepada 2.28 tan bernilai RM5.97 bilion berbanding 1.89 juta tan (RM3.90 bilion) untuk tempoj sama tahun lalu.
Peningkatan itu adalah kesan penggunaan minyak sawit dalam sektor makanan dan bukan makanan bagi memenuhi pemintaan domestik, selain pembuatan produk berasaskan sawit untuk eksport pasca Covid-19.
“China akan terus mengimport minyak sawit untuk permintaan domestik dan memenuhi pengeluaran produk hiliran untuk tujuan eksport, di samping perjanjian antara Malaysia dan China untuk meningkatkan pengimportan minyak sawit Malaysia ke China sebanyak 1.7 juta yang bermula tahun ini hingga 2023,” tambah beliau.
Tambah Ahmad Jazlan, kerajaan juga giat meneroka pasaran baharu termasuk benua Afrika yang meliputi 54 buah negara dan mempunyai 1.2 bilion populasi.
Katanya, benua ini berpotensi menjadi salah satu pengguna minyak sawit terbesar dunia, kesan daripada perkembangan ekonomi dan urbanisasi.
Angola, Mozambique dan Algeria antara pasaran yang dikenal pasti berpotensi untuk peningkatan dalam permintaan minyak sawit.
Ujar Ahmad Jazlan lagi, Jepun dan Korea juga pengimport terbesar produk sawit Malaysia dan kedua-duanya berpotensi tinggi bagi produk hiliran.
Manakala Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu, Yaman dan Afghanistan pula adalah pasaran utuh bagi minyak sawit Malaysia.- MalaysiaGazette