Mohd Uzir Mahidin

PUTRAJAYA- Kedudukan Malaysia dalam Indeks Jurang Gender Global (Malaysia) 2020 untuk kesamaan gender kini menduduki tempat ke-73 di peringkat global iaitu jatuh 10 anak tangga tahun lalu berbanding 2018, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia.

Mengulas laporan ‘Statistik Pemerkasaan Wanita Dalam Domain Terpilih’ yang dikeluarkan hari ini, Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata Malaysia mencatatkan skor 0.709 atau 70.9 peratus tahun lalu iaitu penurunan 0.711 pada 2018.

“Di rantau Asia Timur dan opasifik, Malaysia kekal di kedudukan keenam seperti pada tahun 2018 di mana kita mendahului Thailand, Indonesia, China dan Brunei. Namun kita berada di bekalang New Zealand, Australia dan Singapura,” katanya dalam kenyataan di sini.

Indeks tersebut mengenal pasti jurang antara wanita dan lelaki dalam empat bidang iaitu penyertaan ekonomi, pencapaian pendidikan, kesihatan dan kehidupan dan pemerkasaan politik.

Skor 1.0 (100 peratus) menunjukkan kesamaan telah dicapai.

Mohd Uzir berkata golongan wanita telah melangkaui lelaki dalam pencapaian pendidikan dengan skor 1.053 manakala kesihatan dan kehidupan (0.958) diikuti penyertaan ekonomi dengan skor 0.717.

Beliau berkata kadar penyertaan tenaga buruh (LFPR), 80.9 peratus lelaki termasuk dalam tenaga kerja berbanding 55.6 peratus wanita berbanding negara maju seperti Australia (72.5 peratus) dan Singapura dengan kadar 69.1 peratus.

Secara umumnya, beliau berkata LFPR wanita untuk negara maju melebihi kadar 60 peratus.

Mohd Uzir berkata penguasaan politik mencatatkan skor 0.108 (10.8 peratus) berbanding 0.106 pada 2018 yang menunjukkan golongan wanita masih jauh ketinggalan berbanding lelaki dalam jawatan menteri, Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

“Wanita sebagai ketuu isi rumah dianggarkan membelanjakan RM3,666 sebulan dan perbelanjaan untuk makanan dan minuman adalah RM690 atau 18.8 peratus daripada jumlah perbelanjaan,” katanya.

Menurutnya, dianggarkan bahawa 15.7 juta daripada 32.5 juta penduduk negara ini adalah terdiri daripada kaum wanita.- BERNAMA