KUALA LUMPUR – Parlimen Jerantut, Pahang bakal menjadi Pusat Kulinari Negara khususnya dalam pembuatan dan penghasilan pastri dan bakeri di Malaysia.
Menurut Ahli Parlimen Jerantut, Datuk Ahmad Nazlan Idris, cadangan untuk mewujudkan Pusat Kulinari Negara di Jerantut itu akan dikemukan kepada kerajaan dalam masa terdekat.
“Cadangan mewujudkan pusat kulinari ini timbul selepas lebih 350 peserta Kursus Profesional Seni Pastri dan Kursus Profesional Kulinari Kreatif menamatkan latihan dengan cemerlang dan jayanya.
“Kursus di bawah inisiatif untuk kumpulan B40 anjuran Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB) yang berlangsung di Jerantut bermula pada 16 November dan berakhir pada 2 Disember ini berjaya melahirkan tenaga kerja mahir dan dinamik dalam pembuatan dan penghasilan pastri dan bakeri di Malaysia,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Ahmad Nazlan berkata, kursus anjuran PSMB yang dibimbing oleh barisan cef-cef kulinari bertaraf dunia diketuai oleh Cef Mohammad Roizziddin Mohd Razalli yang merupakan Pengasas Pastry Trainer Malaysia, turut memberikan sertifikasi London Examination Board (LEB), United Kingdom kepada para peserta yang berjaya menamatkan latihan.
“Dengan tunjuk ajar dan bimbingan oleh cef-cef bertaraf antarabangsa, para peserta bukan sahaja dapat menimba ilmu bahkan mampu menjadikan bidang ini sebagai satu kerjaya profesional serta meningkatkan taraf ekonomi mereka,” tambah beliau.
Nazlan menjelaskan, objektif utama penubuhan Pusat Kulinari Negara di Jerantut adalah untuk memberi bimbingan dan tunjuk ajar serta menyuntik semangat lebih ramai rakyat Malaysia menjadikan bidang kulinari sebagai kerjaya pilihan selain melahirkan lebih ramai usahawan pastri dan bakeri yang berdaya saing dan bertaraf dunia.
Beliau turut melahirkan rasa bangga dengan kreativiti dan komitmen yang tinggi oleh para peserta di mana mereka telah membuktikan kemampuan dengan mengolah resipi mudah kepada persembahan kek dan pastri bertaraf dunia.
“Para peserta telah membuktikan kebolehan dan kreativiti dalam memberi nilai tambah terhadap produk pastri dan bakeri yang mereka pernah hasilkan sebelum ini,” ujarnya.
Justeru Nazlan berkata, sudah tiba masanya Jerantut menjadi perintis dan bertindak sebagai pusat sehenti bagi pengeluaran produk pastri dan bakeri terbesar di negara ini dengan penubuhan Pusat Kulinari Negara yang bukan sahaja dapat melahirkan tenaga kerja yang menepati kriteria industri, bahkan meningkatkan lagi status ekonomi khususnya golongan B40 yang terjejas teruk akibat pandemik Covid 19. – MalaysiaGazette